
APA NASIB MARTIN SESKS UNTUK KEMPEN WRC 2025? NAK BERLUMBA DAH NI OI!
Kempen perlumbaan FIA World Rally Championship (WRC) musim lalu menyaksikan pelumba muda dari Latvia Martin Sesks berjaya mencipta sensasi ketika diberikan peluang untuk memandu jentera Ford Puma Rally1 bukan hibrid bersama pasukan M-Sport Ford dengan memandu cukup laju dan pantas ketika perlumbaan di Poland dan juga Latvia.
Dan nama Martin Sesks terus berdegar dalam dunia WRC bahawa beliau mungkin merupakan pelumba muda yang patut diberikan tempat dalam senarai pemandu utama yang beraksi dalam kelas WRC sementelah beliau beraksi dalam kelas WRC2 sebelumnya.
Tanpa berselindung, pasukan M-Sport juga ada menyatakan hasrat dan minat untuk menyambar beliau sebagai salah seorang pemandu untuk mereka, dengan syarat Martin Sesks berjaya membawa masuk sama penaja yang diperlukan. Sebagai sebuah pasukan indie, sudah semestinya faktor kewangan mampu menjadi pemisah antara kerusi pemandu atau pun kerusi penonton. Maka tidak hairanlah sekiranya pasukan M-Sport terlebih dahulu menamakan dua pemandu utama mereka, Grégoire Munster dan Josh McErlean untuk kempen WRC 2025.
Namun Martin Sesks ada membuat hantaran dalam media sosial rasmi beliau tentang akan adanya suatu berita yang besar dan hebat akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Sudah semestinya berkaitan tentang perihal masa depan beliau dalam dunia rali.

Carian tentang perkara ini dalam alam maya tentang gosip dunia rali menemukan perkhabaran yang seakan hampir pasti. Martin Sesks akan memulakan aksi dalam kempen WRC 2025 bermula perlumbaan di Rally Sweden pada Februari ni.
Dijangkakan, pasukan M-Sport Ford akan membariskan empat jentera Ford Puma Rally1 dengan diketuai oleh Grégoire Munster dan Josh McErlean. Dua kerusi pemandu akan diisi oleh Martin Sesks dan juga seorang lagi pemandu budiman Jourdan Serderidis juga akan beraksi.

Sebagai petanda kemungkinan itu, Jourdan Serderidis 60 tahun yang berasal dari Greek itu akan turun beraksi dalam perlumbaan Arctic Lapland Rally yang turut membabitkan permukaan bersalji dengan jentera Ford Puma Rally1 beliau akan diuruskan oleh pasukan M-Sport Ford.
Walau pun masih tiada pengumuman rasmi daripada pasukan M-Sport Ford sendiri, namun Prinsipal pasukan Richard Millener pernah menyatakan bahawa mereka mungkin akan menyenaraikan dua jentera tambahan untuk acara perlumbaan tertentu.
BACA : MARTIN SESKS AKAN KEMBALI BERAKSI BERSAMA JENTERA RALLY1 DI CHILE