
PROTON e.MAS KUASAI LEBIH 60 PERATUS PASARAN EV MALAYSIA
Proton e.MAS terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila menguasai lebih 60 peratus pendaftaran EV di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jenama EV nasional itu merekodkan 27,403 pendaftaran domestik, sekali gus mengekalkan status sebagai jenama EV paling laris di negara ini.
Kejayaan tersebut didorong oleh prestasi memberangsangkan rangkaian modelnya, dengan Proton e.MAS 5 muncul sebagai peneraju segmen EV, manakala Proton e.MAS 7 kekal sebagai SUV elektrik paling popular dan Proton e.MAS 7 PHEV terus mendominasi segmen hibrid plug-in (PHEV).
Momentum pertumbuhan Proton e.MAS turut diperkukuhkan apabila jenama itu berjaya melepasi angka 6,000 pendaftaran dalam tempoh sebulan buat kali pertama pada tahun ini.

Secara keseluruhan, Proton e.MAS mencatat 27,856 pendaftaran termasuk pasaran eksport. Daripada jumlah itu, sebanyak 18,014 unit melibatkan Proton e.MAS 5, 4,278 unit Proton e.MAS 7 dan 5,562 unit Proton e.MAS 7 PHEV.
Prestasi tersebut membolehkan jenama itu menguasai 32.5 peratus pasaran kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) Malaysia.
Seiring peningkatan jumlah kenderaan Proton e.MAS di jalan raya, PRO-NET turut memperluaskan ekosistem sokongan pelanggan melalui rangkaian 60 pusat jualan, 46 pusat servis dan 10 pusat badan serta cat di seluruh negara.
Kemudahan pengecasan juga terus dipertingkatkan menerusi integrasi peta pengecasan langsung dalam kenderaan dan aplikasi Proton e.MAS, yang membolehkan pengguna mengakses lebih 4,700 titik pengecasan awam di seluruh negara.
Bagi membantu pemilik yang tinggal di kediaman bertingkat tinggi, Proton e.MAS turut bekerjasama dengan beberapa penyedia pengecasan termasuk ChargeSini, JomCharge, Charge+, Time Charge N Go dan RExharge.
Melalui kerjasama itu, pelanggan boleh menikmati kadar pengecasan khas RM0.63 bagi setiap kWh sehingga 31 Disember 2026 di lebih 1,500 pengecas yang tersedia di lebih 500 projek kediaman bertingkat.
Dalam usaha memperkukuh industri EV tempatan, semua model Proton e.MAS kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang EV PROTON di Automotive High Tech Valley (AHTV), Tanjung Malim.
Langkah itu bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan pembuatan tempatan, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh rantaian bekalan EV negara.
PRO-NET turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan. Pada Ogos lalu, seramai 37 juruteknik daripada 25 pengedar bertauliah berjaya memperoleh pensijilan EV Tahap 2 menerusi program TVETMARA.
Selain itu, syarikat juga terus memperkasa kemahiran teknikal menerusi program e.MAS Certified Technician Programme (e.CTP) dan e.MAS Certified Service Advisor Programme (e.CSA), selain menganjurkan pertandingan sulung e.MAS Electrified Excellence Competition yang melibatkan tenaga kerja daripada 45 pengedar seluruh negara.
Bagi memastikan tahap perkhidmatan pelanggan kekal tinggi, Proton e.MAS turut mengekalkan kadar ketersediaan alat ganti tulen sebanyak 98.8 peratus di seluruh rangkaian pengedarnya, sekali gus membantu mengurangkan tempoh menunggu dan meningkatkan keyakinan pemilik EV.
Melalui pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pembangunan bakat dan pengukuhan rangkaian sokongan pelanggan, Proton e.MAS dilihat terus memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti elektrik yang lebih mampan.







