Buletin

VIETNAM MUNCUL PASARAN EV TERBESAR ASIA TENGGARA, JUALAN TERUS MENINGKAT

Vietnam muncul sebagai peneraju pasaran kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara selepas mencatat pertumbuhan jualan yang memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan Global EV Outlook 2026 oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), EV kini mewakili kira-kira dua daripada setiap lima kenderaan baharu yang dijual di Vietnam sepanjang 2025, sekali gus menjadikan negara itu pasaran EV terbesar di rantau ini.

Peningkatan tersebut turut meletakkan Vietnam dalam kelompok negara terkemuka dunia dari segi penggunaan kenderaan elektrik, malah kadar penembusan EV di negara itu mengatasi kebanyakan pasaran di Eropah.

Secara keseluruhan, jualan EV di Asia Tenggara melepasi 500,000 unit pada 2025, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Kenderaan elektrik kini merangkumi hampir 20 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu di rantau ini.

Vietnam, Thailand dan Indonesia dikenal pasti sebagai pemacu utama pertumbuhan tersebut, didorong oleh insentif kerajaan, peningkatan pengeluaran tempatan serta kemasukan model dari China pada harga lebih kompetitif.

Di peringkat global, lebih 20 juta EV berjaya dijual sepanjang tahun lalu, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya. China terus mendominasi pasaran dunia dengan lebih 13 juta unit dijual dan pegangan pasaran hampir 55 peratus.

Bagi Vietnam, antara faktor yang menyumbang kepada perkembangan pesat sektor EV ialah pengecualian yuran pendaftaran untuk kenderaan elektrik bateri yang diperkenalkan sejak 2022.

Selain itu, pengeluar tempatan, VinFast, memainkan peranan besar menerusi pengenalan model EV mampu milik yang menarik minat lebih ramai pengguna.

Syarikat itu menyerahkan sebanyak 175,099 unit EV di Vietnam sepanjang 2025 dan mencatatkan jualan 137,697 unit lagi dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. VinFast menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak 300,000 unit menjelang akhir tahun.

IEA mengunjurkan EV mampu menguasai lebih 80 peratus pasaran kenderaan baharu Vietnam menjelang 2035, iaitu kadar tertinggi di Asia Tenggara.

Firma penyelidikan pasaran, Statista pula menyatakan peningkatan harga bahan api, kesedaran terhadap isu alam sekitar serta sokongan kerajaan menjadi antara faktor utama yang mendorong pengguna beralih kepada kenderaan elektrik.

Data industri tempatan menunjukkan gabungan kenderaan elektrik bateri dan hibrid menyumbang hampir 29 peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan baharu di Vietnam bagi separuh pertama 2026.

Persatuan Pengeluar Automotif Vietnam menganggarkan jumlah EV di negara itu boleh mencecah satu juta unit menjelang 2028 sebelum meningkat kepada 3.5 juta unit pada 2040.

Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, VinFast bekerjasama dengan syarikat petroleum tempatan bagi memperluaskan kemudahan pengecasan. Melalui rangkaian V-Green, syarikat itu kini memiliki lebih 150,000 port pengecasan di seluruh negara.

Kerajaan Vietnam turut menjadikan pembangunan infrastruktur pengecasan sebagai sebahagian daripada agenda pengangkutan hijau negara serta sasaran mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Selain menggalakkan pengeluaran, pemasangan dan import EV, pihak berkuasa juga sedang memperhalusi garis panduan pemasangan kemudahan pengecasan di stesen minyak, bangunan kediaman bertingkat, pusat komersial dan kawasan rehat lebuh raya bagi mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button