Buletin

PUBLIC BANK, ICAUR JALIN KERJASAMA, SEDIA PEMBIAYAAN LEBIH MUDAH

Public Bank dan iCAUR menjalinkan kerjasama strategik bagi memperluaskan akses pemilikan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menyokong agenda peralihan negara ke arah mobiliti yang lebih hijau dan mampan.

Inisiatif itu digerakkan menerusi kempen eksklusif “Go Green with Green Vehicle Financing – Paint the Town Green” yang diperkenalkan oleh Public Bank, dengan matlamat menawarkan kemudahan pembiayaan lebih menarik bagi menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam.

Kerjasama berkenaan diumumkan ketika pasaran EV tempatan terus mencatat pertumbuhan kukuh. Dalam tempoh Januari hingga Jun 2026, jualan EV di Malaysia melonjak 106 peratus kepada 26,192 unit berbanding 12,733 unit yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Seiring perkembangan tersebut, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menaikkan unjuran jualan kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) bagi tahun ini kepada 120,000 unit.

Angka itu merangkumi kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid plug-in (PHEV) dan hibrid elektrik (HEV), bersamaan kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan volum industri automotif negara.

Sebagai jenama kenderaan tenaga baharu di bawah Kumpulan Chery, iCAUR dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan tersebut menerusi penawaran model SUV elektrik seperti iCAUR 03 dan iCAUR V23.

Kedua-dua model berkenaan tampil dengan identiti tersendiri menerusi reka bentuk berkotak yang diinspirasikan elemen retro, selain menggabungkan teknologi mobiliti elektrik dengan gaya hidup moden yang lebih aktif dan berorientasikan pengembaraan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Tay Ah Lek berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam menyokong peningkatan penggunaan EV di Malaysia.

“Semakin ramai rakyat Malaysia memilih penyelesaian mobiliti yang lebih hijau. Public Bank komited menyediakan kemudahan pembiayaan yang mampu membantu pelanggan beralih kepada kenderaan elektrik dengan lebih mudah.

“Kerjasama ini juga selari dengan usaha kami untuk menyokong peralihan hijau negara dan menggalakkan lebih ramai pengguna membuat pilihan yang mampan demi masa depan lebih lestari,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, iCAUR membawa falsafah “Born to Play” yang menekankan pengalaman pemanduan elektrik yang menyeronokkan, bergaya dan sesuai dengan gaya hidup pengguna masa kini.

Menurut beliau, kerjasama dengan Public Bank akan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan elektrik menerusi pakej pembiayaan yang lebih mudah diakses.

Menerusi kempen “Go Green with Green Vehicle Financing – Paint the Town Green”, pelanggan yang layak berpeluang menikmati pelbagai manfaat pembiayaan eksklusif bagi pembelian model kenderaan hijau terpilih.

Selain memperkukuh akses kepada pemilikan EV, kerjasama tersebut turut mencerminkan komitmen Public Bank dalam memperluaskan pembiayaan mampan serta menyokong penggunaan teknologi pengangkutan yang lebih mesra alam.

Dengan industri automotif tempatan yang semakin berkembang ke arah elektrifikasi, Public Bank dan iCAUR optimis lebih ramai rakyat Malaysia akan beralih kepada mobiliti hijau, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masa depan yang lebih mampan.

Google ads
Back to top button