Artikel Pilihan

10 KATEGORI PEMILIK KERETA DI GROUP FACEBOOK. ANDA YANG MANA SATU?

Dulu-dulu sebelum wujudnya Facebook, pemilik kereta biasanya akan berkumpul di kedai mamak dan juga kedai kopi bagi membincangkan mengenai jentera mereka. Setelah wujudnya Facebook dan media sosial serta kekangan pergerakan akibat PKP, maka medium Facebook ini lebih meriah dengan wujudnya group kereta yang khusus untuk pemilik atau bakal pemilik

Sebut sahaja semua nama Honda, Toyota, Mazda, Perodua, Proton waima group pemilik lori juga wujud di laman Facebook. Biasanya group Facebook sebegini bagus untuk pemilik berbincang berkenaan masalah teknikal jika ada, mencari aksesori dengan harga murah dan mencari penyelesaian masalah.

Tapi lama-lama penulis perasan yang dalam group Facebook ini, wujud macam-macam perangai manusia. Jadi kami senaraikan beberapa spesis manusia yang wujud dalam group Facebook kereta

1. CCTV – orang dari golongan ini biasanya atas pagar, belum lagi memiliki kereta jenama dan model tersebut atau sedang menunggu kereta mereka sampai ke pusat jualan. Biasanya mereka akan melihat pemilik lain menaik status kereta baru mereka yang baru sampai di kedai sambil mengelap air liur yang menitis

2. Kaunter Pertanyaan – yang ini istimewa sikit sebab golongan ini suka tanya benda yang remeh temeh dan biasanya kalau rajin membaca buku manual, mereka tidak akan tanya soalan tersebut di Facebook. Contoh yang paling kelakar adalah seperti gambar di atas. Tue pelekat bang..

3. Kaki Racun – keluar je kereta mereka akan pasang tinted baru, rim baru, tayar baru, alas kaki baru, spring baru, penyerap hentak dan serba serbi baru. Setelah selesai semua, pemilik akan menayangkan kereta mereka di Facebook dengan status “kubis nubis baru masuk mohon tunjuk ajar”.

Biasanya abam jawab, “ajaran paling bagus ialah nanti ambil petrol, simbah pada kereta dan bakar”. Tapi dalam hati sajalah

4. Geng Pelangi – atau geng yang suka up warna kereta sendiri. Contohnya kalau kereta dia warna merah, dia akan up status “mana geng merah jambu, mai masuk tepek gambar. Kita tengok sapa rim paling lawa”. Biasanya mereka akan buat cabang kelab sendiri seperti Alza Biru, Bezza Merah, dan Saga Hitam. Mungkin nak jadi presiden kot

5. Cybertrooper – ini biasa kat mana mana group pun ada. Biasanya akan menjadi CCTV, tapi bila ada masalah dia paling ke depan tembak sana sini buat kecoh. Profil FB biasanya tak tepat, palsu dan menyamar. bertindak cemerlang sebagai tukang hasut tak bertauliah

6. Akauntan – ok golongan ini suka membandingkan brapa interest rate yang berjaya diperolehi, lagi bagus lagi rendah. Mereka juga akan membandingkan hadiah percuma yang bakal diberikan oleh perunding jualan. Kalau boleh nak beli kereta percuma lagi satu kereta

7. Teknikal Overconfident – korang jangan gelak sebab spesis memang wujud. Apabila wujudnya masalah, dia akan menyediakan teori relativiti serta teori graviti bagi menyokong fakta yang diberikan. Sebelum korang sewel sama-sama, baik tarik handbrake siap-siap kalau jumpa.

8. Geng Penjual Aksesori – mungkin sebagai medium pemasaran, mereka akan bercerita berkenaan aksesori yang sesuai, coating yang sesuai dan macam-macam aksesori yang tak pernah terfikir. Tiada isu sangat sebab masing-masing cari rezeki kan

9. Geng Teknikal – kalau sembang dengan golongan ini seronok sikit, sebab kalau ada apa-apa masalah boleh rujuk atau boleh berbincang sesama sendiri dengan harmoni. Biasanya mereka ikut resmi padi, makin berilmu makin merendah diri

10. Geng DIY (Do it yourself)- ini lagi otai dari geng teknikal, sebab semua benda mereka boleh buat sendiri dari tukar minyak hitam sampai la tukar gearbox. Seronok juga tengok sebab kalau ada masalah kecil, mereka boleh jadi rujukan.

Google ads
Back to top button