Buletin

32,000 KENDERAAN MASUK KE KELANTAN SEJAK RENTAS NEGERI DIBENARKAN

Sebanyak 32,000 buah kenderaan didapati  memasuki Kelantan sejak kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, bilangan kemasukan kenderaan itu dikesan melalui tiga sekatan jalan raya di sempadan negeri ini iaitu di Batu Melintang, Jeli, Bukit Yong (Pasir Puteh) dan Kampung Tanah Putih (Gua Musang) dalam tempoh seminggu sehingga hari ini.

Menurutnya, pemerhatian mendapati, pertambahan kenderaan dilihat bermula semalam apabila orang ramai mengambil peluang bercuti hujung minggu dan terus bersambung sehingga cuti umum pada Selasa depan.

“Keadaan ini sudah dapat dijangka apabila ramai anak Kelantan di perantauan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa mereka.

“Polis tetap menjalankan pemeriksaan yang ketat di ketiga-tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) itu untuk memastikan individu masuk ke Kelantan lengkap dua dos vaksin,” katanya.

Menurut Shafien, beliau menasihatkan kepada semua perantau yang pulang ke kampung halaman mereka agar terus mematuhi prosedur operasi standard terutamanya ketika berada di tempat awam. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button