Artikel PilihanBuletin

86 PERATUS PEMBELI SILAP PILIH WARNA KERETA – KAJIAN NISSAN DI EROPAH

Biar betul. 86 peratus pembeli membuat kesilapan dalam memilih warna kereta. Itulah dapatan undian yang dibuat Nissan di negara Eropah. Kajian itu mendapati walaupun sekarang ini banyak pilihan warna-warna terang dan menarik tetapi pembeli tetap memilih warna konservatif. 

Kajian itu juga dilakukan Nissan bagi meraikan pilihan kemasan dan kelengkapan peribadi untuk model Micra terbaru. Nissan juga mendapati satu pertiga pembeli sepatutnya memilih warna yang lebih terang seperti oren berdasarkan personaliti mereka berbanding warna tradisi kelabu dan hitam.

Dan untuk membantu pelanggan memilih warna berdasarkan personaliti mereka, Nissan telah membina Chatbot dalam Facebook Messenger berdasarkan panduan dari ahli psikologi warna iaitu Karen Haler.

Jawapan yang diberikan pengguna akan dipadankan dengan personaliti dan kemudian Nissan akan menunjukkan warna Micra yang sesuai untuk mereka. Ujian personaliti dan warna yang sesuai boleh dibuat melaui pautan ini

Kedua-dua kajian dan Chatbot itu dibangunkan menggunakan kepakaran Karen dalam bidang psikologi warna. Dengan pengalaman lebih dari 20 tahun, beliau telah bekerjasama dengan sejumlah jenama global bagi memahami pilihan warna yang dibuat oleh pengguna.

Selain itu, Nissan Micra baharu tampil dengan pilihan warna yang terang dan berani untuk pelanggan. Nissan menawarkan sepuluh jenis warna luaran termasuk Energy Orange dan Pulse Green. Jika itu tidak cukup meriah, pelanggan boleh memesan warna kontra untuk bampar, pintu, rim dan cermin sisi.

Khidmat pilihan peribadi yang ditawarkan turut merangkumi kemasan dalaman seperti kerusi, kulit pintu dan papan pemuka.

Hasil daripada tawaran tersebut, sekitar 22 peratus pelanggan Micra memilih untuk memesan pilihan peribadi mereka dan ia lebih daripada jumlah sasaran Nissan. Faktor utama untuk permintaan itu ialah disebabkan harga yang berpatutan di mana secara purata pelanggan hanya perlu menambah sekitar GBP 400 (RM 2,280.13) untuk mengubah suai Micra mereka dari bilik pameran.

Berbalik kepada kajian tadi, pelbagai soalan disusun untuk mengukur personaliti individu melalui analisa tingkah laku dan keutamaan mereka. Teknik ini biasa digunakan untuk mengetahui personaliti utama seseorang individu di mana ia turut digunakan sebagai sebahagian daripada proses tapisan temu duga kerja.

Berikut ialah dapatan kajian Nissan yang diperoleh dari 5,000 respon di Eropah:

  • 86 peratus pelanggan salah pilih warna kereta yang tidak berdasarkan personaliti mereka
  • Sekitar dua pertiga pelanggan memilih warna tradisional atau konservatif
  • 38 peratus pembeli memiliki kereta berwarna kelabu atau hitam
  • 53 peratus pembeli mengatakan warna memberi impak kepada pemilihan kereta yang dibeli
  • Daripada jumlah tersebut, lebih dari separuh mengatakan mereka memilih warna kegemaran

Berikut pula ialah komentar dari ahli psikologi warna, Karen Haler:

  • Faktor sosial memainkan peranan dalam pemilihan warna
  • Sebagai contoh, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, adalah normal untuk pembeli memilih warna neutral seperti hitam, putih atau kelabu – Beliau tidak terkejut apabila dua pertiga pembeli memilih warna konservatif ini
  • Warna juga dipilih berdasarkan aspirasi di mana hitam termasuk dalam kategori itu. Ia juga dikaitkan dengan teknologi tinggi dan jenama inovatif. Walaupun nampak seperti pilihan selamat, warna hitam sebenarnya melambangkan sesuatu yang bermutu dalam kehidupan
  • Tindak balas manusia terhadap warna juga bergantung kepada zaman mereka di alam kanak-kanak. Ia tidak semestinya merujuk kepada simbol atau apa-apa kaitan tetapi lebih kepada respon automatik yang kita tidak mempunyai kuasa untuk mengawalnya
  • Manusia memberi reaksi berbeza terhadap warna dan analisa psikometrik membolehkan pakar untuk memahami hubung kait di antara jenis personaliti dan pilihan warna

BACA: NISSAN MICRA 2017 – APESAL KAU CANTIK SANGAT?

BACA: KENAPA NISSAN GT-R BEGITU BERKUASA? INI RAHSIANYA…

Google ads
Back to top button