
NISSAN PERTIMBANG SEWAKAN KILANG DI UK KEPADA CHERY
Dunia automotif global ketika ini sedang melalui satu perubahan yang cukup besar. Jika suatu ketika dahulu jenama Jepun dan Eropah dianggap sebagai sifu kepada industri automotif dunia, kini situasinya mula terbalik apabila syarikat dari China semakin agresif berkembang sehingga memaksa pengeluar tradisional terpaksa mencari jalan baharu untuk terus bertahan.
Perkara itu dapat dilihat menerusi laporan terbaru yang menyebut Nissan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan kilang mereka bagi menghasilkan kereta bagi jenama China di kilang mereka di Sunderland, United Kingdom.
Kilang Sunderland merupakan kilang kereta terbesar di Britain dan antara operasi paling penting Nissan di Eropah sejak sekian lama. Namun sama seperti banyak pengeluar lain ketika ini, Nissan juga sedang berdepan tekanan besar akibat perubahan pasaran global, persaingan EV yang semakin sengit serta kemaraan pengeluar China yang berkembang terlalu pantas.
Menurut laporan tersebut, kilang Sunderland kini hanya beroperasi sekitar separuh (50%) daripada kapasiti maksimum sebenar. Nissan juga dilaporkan telah menutup salah satu daripada dua barisan pemasangan utama di fasiliti tersebut sebagai langkah pengurangan kos.
Dalam masa sama, syarikat itu turut melalui fasa penstrukturan semula besar-besaran termasuk pemotongan pekerjaan di beberapa pasaran global selepas mencatatkan kerugian yang dianggarkan mencecah ratusan bilion yen untuk tahun kewangan terbaru.
Atas faktor di atas, Nissan kini dikatakan sedang menilai kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat China seperti Chery bagi memaksimumkan penggunaan kilang mereka di UK dan menjana aliran kewangan positif.
Jika kerjasama itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi simbol perubahan besar dalam industri automotif global. Bayangkan sebuah syarikat Jepun yang pernah menjadi antara peneraju teknologi dunia kini mungkin membina kereta untuk jenama China di kilang milik mereka sendiri.
Chery pula ketika ini sedang berkembang agresif di Eropah menerusi jenama seperti Omoda dan Jaecoo. Kedua-dua jenama tersebut semakin mendapat perhatian di pasaran UK dan beberapa negara Eropah lain, terutama dalam segmen SUV dan kenderaan elektrifikasi.
Apa yang menarik, langkah seperti ini bukan lagi dianggap pelik dalam industri automotif moden. Banyak pengeluar tradisional kini mula membuka ruang kerjasama dengan syarikat China, sama ada untuk pembangunan EV, penggunaan platform bersama ataupun perkongsian fasiliti pengeluaran.
Salah satu sebab utama ialah faktor tarif import Kesatuan Eropah terhadap EV buatan China. Dengan menghasilkan kenderaan terus di Eropah menggunakan kilang sedia ada, syarikat China boleh mengurangkan kesan cukai import selain mempercepatkan proses kemasukan ke pasaran Eropah.
Dalam masa sama, pengeluar seperti Nissan pula dapat memastikan kilang mereka terus beroperasi dan tidak terbiar dengan kapasiti yang tidak digunakan sepenuhnya.
Secara tidak langsung, situasi ini menunjukkan bahawa kuasa industri automotif dunia kini semakin berubah arah. Jika dahulu pengeluar Jepun, Amerika dan Eropah mendominasi hampir keseluruhan pasaran global, kini syarikat China pula mula memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju industri.








