Artikel Pilihan

KENAPA NISSAN GT-R BEGITU BERKUASA? INI RAHSIANYA…

Nissan GT-R adalah supercar paling murah yang boleh anda beli di pasaran (baca betul-betul, bukan kereta paling murah). Dengan harga pasaran sekitar RM500K hingga ke RM600K, ianya adalah jauh lebih murah berbanding harga Porsche, Ferrari ataupun Lamborghini yang paling sederhana (sebenarnya mana ada istilah sederhana untuk Ferrari ataupun Lambo?).

GT-R adalah sebuah coupe berasaskan perlumbaan dan sah digunakan di jalanraya. Ia dibekalkan dengan enjin V6 yang mampu memecut dari kedudukan statik ke 100 km/j bawah daripada 3 saat. Sesuatu yang jarang dicapai oleh kereta-kereta sports lain.

Nissan-GT-R-New-York-menika (1)

BACA – NISSAN GT-R GENTIAN KARBON

BACA – NISSAN GT-R, SANG LAGENDA DARI JEPUN

Tapi.  Apa rahsia yang menjadikan GT-R sangat laju? Adakah ia dihasilkan dengan teknologi makhluk asing?

INTEGRASI ENJIN DAN SISTEM PACUAN

Kereta-kereta sports konvensional seperti Chevrolet Camaro, Ford Mustang ataupun Toyota Supra menggunakan pacuan roda belakang. Enjin dan kotak gear diposisikan di hadapan dan sewaktu bergerak, kesemua tork dihantar ke roda belakang.

Jadi tidak kira sekuat mana pun enjin tersebut, roda belakang akan berputar ligat sewaktu memecut kerana kekurangan cengkaman. Ini kerana bahagian belakang adalah lebih ringan berbanding bahagian depan menjadikan agihan berat yang tidak sekata.

Inilah faktor yang berjaya diatasi dengan baik oleh para jurutera GT-R. GT-R sendiri adalah contoh terbaik untuk sistem cengkaman yang mesti ada pada sebuah kereta sports. GT-R mempunyai sistem pacuan-semua-roda bermakna kuasa enjin dihantar kesemua keempat-empat bahagian roda.

Enjinnya terletak dihadapan tetapi kotak gearnya digabungkan dengan transfer case dan differential diletakkan di bahagian belakang. Ia membolehkan GT-R memperolehi agihan berat yang sempurna 53/47 dari depan ke belakang. Lebih penting lagi ialah bila kesemua roda menerima beban berat yang hampir sama.

4WD: BUKANKAH IA LEBIH KOMPLEKS DAN BERAT?

Macamana sistem pacuan-semua-roda Nissan GT-R berfungsi? Sistem pacuan-semua-roda GT-R digelar ATTESA E-TS (Advanced Total Traction Engineering System for All-Terrain with Electronic Torque Split). Ia sebuah sistem yang agak mudah sebenarnya tetapi ia memerlukan kawalan elektronik dan agihan tork yang paling tepat.

ATTESA E-TS merupakan merupakan sistem pacuan-semua-roda yang berat sebelah sebenarnya. Ini adalah kerana bahagian belakang sentiasa menerima 50-100 peratus kuasa enjin sepanjang masa bergantung kepada keadaan pemanduan.

Bila ada keperluan, barulah kuasa enjin dihantar ke roda hadapan. Itupun cuma terhad kepada 50 peratus sahaja. Bukan itu sahaja, differential yang ada pada bahagian depan dan belakang kereta berupaya untuk menghantar tork secara berasingan ke roda kiri dan kanan mengikut keperluan.

Contohnya jika satu tayar berada di atas ais/air/licin dan satu lagi tidak, tork untuk bahagian di atas permukaan yang taida traksi akan dikurangkan dan dihantar ke bahagian satu lagi.

ENJIN VR38DETT – KEJURUTERAAN TERBAIK 90 TAHUN NISSANNissan-GT-R-mekanika (13)

Nissan GT-R menggunakan enjin 3.8-liter V6 twin-turbo VR38DETT. Setiap unit enjin ini dipasang dengan tangan oleh seorang juruteknik ataupun digelar ‘Takumi’ yang bermaksud “seorang mahaguru dengan skil terhandal” (patut la hero Initial D bernama Takumi).

Proses pemasangan dilakukan dalam ruangan yang sangat bersih di kilang pembuatan enjin Nissan di Yokohama. Bermula dari 2014, setiap enjin dilekatkan dengan plat yang memaparkan nama ‘Takumi’ yang memasangnya.

Ini berbeza dengan kereta yang dikeluarkan secara besar-besaran di mana enjinnya dipasang di dalam barisan pengeluaran oleh individu yang berbeza untuk penjimatan kos.

Enjin VR38DETT ini menggunakan komponen injap dan rekaan yang sama dengan enjin VQ35 yang telah digunakan dalam kebanyakan model Nissan lain seperti Cefiro, Elgrand, Stagea, Fairlady 350Z dan sebagainya.

BACA – INILAH KEKUATAN VR38DETT

Untuk enjin siri VQ ini, bahagian selindernya dihasilkan menggunakan besi tempa yang ditekan masuk ke dalam blok aluminium untuk menguatkan dinding selinder sekaligus menjadikannya lebih tahan lasak.

Bagi memastikan enjin ini lebih ringan, Nissan memilih untuk menyadur bahagian selinder dengan lapisan logam keras senipis 0.15mm berbanding menggunakan lapisan besi tempa biasa. Ia dihasilkan menggunakan teknik semburan plasma untuk melekatkan material saduran itu ke bahagian dinding selinder.

Disebabkan pengurangan berat adalah sangat penting, Nissan memilih untuk menggunakan enjin V6 berbanding V8 ataupun V10 yang ternyata lebih berat. Kontras dari jumlah selinder yang kurang ini ialah gabungan sepasang pengecas turbo IHI berprestasi tinggi untuk memerah kuasa yang lebih banyak.

2014 Nissan GT-R

Pengecas turbo ini mempunyai dua turbin (turbin ekzos dan turbin kemasukan) yang digabungkan bersama dengan satu syaf. Ia berfungsi menggunakan tenaga daripada gas ekzos yang bergerak keluar dari enjin untuk mengepam lebih banyak udara ke dalam ruang kemasukan enjin.

Bila kereta mula memecut, turbin di bahagian ekzos diputarkan oleh gas ekzos, yang seterusnya memutarkan turbin di bahagian kemasukan. Turbin kedua ini memaksa udara masuk ke dalam enjin secara tekanan.

Bila suhu udara yang dipaksa masuk mula meningkat di bawah tekanan, sepasang intercooler bertindak untuk memastikan udara yang dimasukkan lebih sejuk. Lebih banyak udara dipam masuk ke dalam enjin dengan menggunakan pengecas turbo akan membolehkan lebih banyak petrol disuntik masuk, menjadikannya lebih berkuasa.

FORD MUSTANG SUDAH BOLEH DITEMPAH
Ford Mustang ini dikuasakan oleh enjin 5.0 liter dengan 435HP

Enjin VR38DETT yang dilengkapkan pada Nissan GT-R tahun 2014 mampu menghasilkan 545 kuasa kuda pada tahap 6400 rpm. Bandingkan ia dengan enjin 5.0-liter V8 pada Ford Mustang 2015 yang cuma mampu menghasilkan 435 kuasa kuda.

BACA – LELAKI 97 TAHUN INI BELI FORD MUSTANG MANUAL!

Sistem pelincir untuk VR38DETT juga telah diubahsuai untuk memastikan ia mampu menahan bebanan yang tinggi sewaktu pemanduan. Oleh itu ia memerlukan perlindungan pelincir sintetik sepenuhnya dan jenama yang dikhususkan untuk ini ialah Mobil1 10W-40 (100 peratus sintetik). Malah GT-R ini juga memerlukan minyak petrol gred premium (Ron95 semestinya bukan jodoh GT-R).

KOTAK GEAR MANUAL AUTO 6-KELAJUAN KLAC BERGANDA (DUAL KLAC)

Nissan GT-R menggunakan kotak gear manual automatik dengan klac berganda keluaran BorgWagner. Ia sebenarnya boleh ditakrifkan sebagai gear manual tetapi dikawal sepenuhnya menggunakan komputer. Kotak gear ini juga mempunyai mod manual yang membolehkan pemandu membuat tukaran gear menggunakan tuil yang dipasang pada stereng.

Kotak gear Nissan GT-R ini mempunyai dua klac basah yang dikawal oleh komputer sepenuhnya (ia dipanggil klac basah kerana plat geserannya berada didalam cecair transmisi). Satu klac mengawal gear-gear ganjil (1,3,5) dan satu klac lagi mengawal gear-gear genap (2,4,6).

BAGAIMANA IA BERFUNGSI?gt-r-transmisi

Bila kereta mula bergerak dengan gear satu, gear kedua sudah berada dalam kedudukan separa masuk dan sebaik sahaja kereta menghampiri kelajuan yang sesuai untuk gear dua, klac gear ganjil akan memutuskan gear satu serentak dengan klac genap memasukkan gear kedua.

Proses ini akan berterusan sehinggalah ke gear teratas. Semua ini adalah untuk meminimakan masa dan mengurangkan kehilangan tork sewaktu tukaran gear.

Nissan GT-R cuma menggunakan masa 0.15 saat untuk setiap tukaran gear dalam mod “R”.

BREK, RIM DAN TAYAR

gt-r-wheels

Nissan GT-R menggunakan brek Brembo enam piston dengan cakera berliang di bahagian hadapan. Enam piston bermaksud angkupnya mempunyai 3 piston di bahagian kiri dan kanan. Piston-piston ini akan ditekan secara hidraulik untuk memberhentikan kereta sewaktu membrek.

Untuk perbezaan, kereta-kereta biasa hanya mempunyai satu piston di bahagian dalam angkup brek untuk memberhentikan kereta. Cakera brek depan GT-R mempunyai diameter 15.35 inci manakala Nissan 350Z cuma 11.7 inci (Axia? Tak payahlah). Sementara itu, brek belakangnya pula menggunakan angkup 4-piston dengan cakera berdiameter 15.0 inci.

GT-R menggunakan tayar run-flat dengan tayar belakang adalah lebih lebar (285/35R20) berbanding tayar hadapan – 255/40R20 . Tayar bersaiz 20 inci dipilih kerana ia memberikan sentuhan yang optima dengan permukaan jalan.

Mungkin ramai yang tak perasan, rim GT-R juga mempunyai jaluran halus di bahagian dalam untuk mengelakkan tayar daripada terkeluar dari rim sewaktu membuat pecutan pantas atau ketika membrek.

NISSAN GT-R, KERETA SUKAN TERBAIK DUNIA DENGAN HARGANYA

2017-Nissan-GT-R-NISMO-mekanika (5)

Apa yang membuatkan Nissan GT-R sungguh laju ialah kedudukan enjin dan sistem transmisinya yang terletak di hadapan dan belakang kereta. digandingkan pula dengan sistem pacuan-semua-roda menjadikannya sebuah kereta yang mempunyai agihan berat yang sempurna.

Ia juga mempunyai sistem kawalan dan cengkaman yang membuatkan pemandu cukup yakin sewaktu memandunya. Tidak dinafikan lagi, ia adalah kereta yang ideal untuk penggemar kereta sports dan menyebabkan pengeluar maintsream Porche 911 kelihatan sangat mahal.

Maksud kami, Nissan GT-R ini sebenarnya memang sangat murah.

BACA – AMS LEBUR REKOD GT-R TERPANTAS DARI BAHRAIN

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button