Buletin

TOYOTA YARIS CROSS TERIMA 2,298 TEMPAHAN DALAM DUA MINGGU

UMW Toyota Motor merekodkan 2,298 tempahan bagi model baharu Toyota Yaris Cross di seluruh negara dalam tempoh hanya dua minggu selepas pelancarannya, sekali gus mencerminkan permintaan awal yang memberangsangkan terhadap SUV segmen-B itu.

Sambutan positif tersebut turut menunjukkan daya tarikan Yaris Cross dalam kalangan pelbagai kelompok pelanggan, termasuk pembeli pertama jenama Toyota.

Ditawarkan pada harga bermula RM99,900, model itu membuka peluang lebih luas kepada pengguna untuk memiliki kenderaan Toyota, termasuk akses kepada teknologi elektrifikasi hibrid.

Dipasang secara tempatan di fasiliti pengeluaran Toyota di Bukit Raja, Yaris Cross hadir sebagai SUV kompak yang direka untuk memenuhi gaya hidup moden di kawasan bandar, di samping mengekalkan pengalaman pemilikan yang sinonim dengan jenama Toyota.

Bagi varian petrol, Yaris Cross menggunakan enjin 1.5 liter NA empat silinder 2NR-VE yang dipadankan dengan transmisi CVT. Gabungan itu menghasilkan kuasa 106PS dan tork 138Nm.

Versi hibrid pula menggunakan sistem hibrid generasi keempat Toyota yang menggabungkan enjin 1.5 liter bersama motor elektrik.

Enjin tersebut menghasilkan 91PS dan 121Nm, manakala motor elektrik menyumbang 80PS serta 141Nm, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 111PS.

Menurut Toyota, penggunaan bahan api bagi Yaris Cross Hybrid mampu mencapai antara 27.8 km/l hingga 33.3 km/l berdasarkan ujian dalaman syarikat.

Sistem hibrid yang digunakan juga adalah jenis self-charging, membolehkan bateri dicas semula secara automatik tanpa memerlukan sambungan plug atau kebergantungan kepada stesen pengecas awam.

Dari aspek praktikaliti, SUV itu menawarkan ruang but sehingga 471 liter, lebih besar berbanding Toyota Corolla Cross yang mempunyai kapasiti 440 liter.

Rekaan luar Yaris Cross tampil lebih lasak dan moden menerusi penggunaan gril trapezoid berkembar, garisan badan lebih tajam, fender lebar serta rim aloi 18 inci. Lampu belakang yang memanjang ke sisi pula memberikan imej lebih lebar dan premium.

Di bahagian kabin, model itu dilengkapi stereng balut kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan hala, paparan meter digital TFT tujuh inci, pencahayaan ambien empat tahap serta sistem infotainmen skrin sentuh 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Google ads
Back to top button