Buletin

AKHIRNYA TOYOTA VIOS HYBRID MUNCUL JUA…

Toyota Yaris Ativ, juga dikenali sebagai Toyota Vios di sesetengah pasaran merupakan sedan segmen B popular bagi pasaran negara membangun. Ia direka untuk menggantikan model Corolla yang bergerak ke arah segmen premium dan selepas tiga tahun selepas melancarkan generasi semasa di Thailand, Toyota memperkenalkan varian dengan kuasa hibrid dan trim GR Sport baharu bagi pemandu yang mahukan sesuatu yang lebih sporti.

Bermula dengan versi paling sporty, pakej Gazoo Racing membawakan bodykit yang lebih sepadan dengan rekaan yang lebih bergaya. Bampar hadapan yang direka bentuk semula menempatkan salur masuk yang lebih besar, dipasangkan dengan skirt sisi yang lebih dalam, diffuser belakang dan spoiler hitam berkilat.

Melengkapkan rupa ialah roda aloi 17 inci dengan kemasan hitam untuk bumbung dan penutup cermin sisi, dengan lencana GR disemat di bahagian hadapan dan belakang. Pembeli boleh memilih daripada tiga warna bagi pasaran Thailand dengan pilihan warna Platinum White Pearl, Red Mica Metallic atau Attitude Black Mica.

Di bahagian dalam, GR Sport meneruskan tema dengan kemasan kulit sintetik hitam, jahitan kelabu, dan logo GR yang dipasang pada stereng dan perehat kepala. Toyota juga bermurah hati dengan menyediakan sistem enam pembesar suara Pioneer, paparan infotainment 10.1 inci, pengecasan tanpa wayar, penyaman udara automatik, pencahayaan ambien dan pakej bantuan pemandu Toyota Safety Sense

Seperti kebanyakan model GR Sport, tumpuan di sini adalah dalam pengendalian dan bukannya kuasa enjin. Sistem suspensi dan stereng telah ditala semula khusus untuk kemasan GR Sport, manakala bar penstabil hadapan dan belakang ditambah untuk meningkatkan keseimbangan melalui selekoh.

Khusus bagi varian hibrid untuk Yaris Ativ ialah penambahan pilihan powertrain hibrid pengecasan sendiri. Sistem ini dipinjamkan daripada Toyota Yaris dan Yaris Cross, yang berkongsi platform TNGA-B yang sama manakala Toyota Vios menggunakan platform DNGA-B.

Sistem hibrid ini menempatkan enjin empat silinder 1.5 liter aspirasi normal yang menghasilkan 90 hp (67 kW / 91 PS) dan 121Nm tork dengan satu motor elektrik yang menjana 79 hp (59 kW / 80 PS) dan 141Nm tork. Dalam mode gabungan kuasa, trenkuasa ini memberikan kuasa maksima sekitar 110 hp (82 kW / 111 PS) melalui e-CVT ke roda hadapan, disokong oleh pek bateri lithium-ion 0.7 kWh.

Pemandu boleh memilih daripada mod Eko, Normal atau Kuasa bergantung pada keutamaan mereka. Dengan fokus penjimatan bahan api maksimum, angka rasmi dari Toyota adalah sekitar 29.4 km/l, bersamaan dengan 3.4 l/100 km.

Varian hibrid ini boleh didapati bukan sahaja dalam kemasan GR Sport tetapi juga dalam versi Premium, yang menukar bodykit yang lebih sporty dengan tayar 16-inci dan dalaman hitam dan warna kelabu yang lebih lembut.

Bagi pasaran Thailand, Toyota masih lagi menawarkan enjin petrol empat silinder 1.2 liter dengan 93 hp (69 kW / 94 PS)dan 110Nm tork, dipasangkan secara eksklusif dengan CVT. Versi bukan hibrid ini terdapat dalam empat trim, termasuk Premium Luxury, Premium, Smart dan Sport, tetapi rawatan GR Sport kekal hibrid sahaja.

Google ads
Back to top button