Advertisements
Buletin

iCAUR V23 RAIH ANUGERAH KESELAMATAN PENUNGGANG MOTOSIKAL ASEAN NCAP 2026

Model kenderaan elektrik (EV) iCAUR V23 menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik – Keselamatan Penunggang Motosikal pada 6th ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2026.

Majlis penyampaian anugerah yang berlangsung pada 10 November 2026 di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang itu menghimpunkan pengeluar automotif serantau yang mencatat prestasi keselamatan cemerlang sepanjang tempoh penilaian 2024 hingga 2025.

Anugerah dwitahunan anjuran New Car Assessment Program for Southeast Asian Countries (ASEAN NCAP) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) itu bertujuan mengiktiraf model kenderaan yang memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi reputasi iCAUR V23 selepas model berkenaan memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP pada Disember 2025 dengan skor keseluruhan 91.02 mata di bawah protokol penilaian ASEAN NCAP 2021–2025.

Pengiktirafan dalam kategori keselamatan penunggang motosikal itu turut mencerminkan keupayaan teknologi keselamatan aktif dan sistem bantuan pemandu pintar yang disediakan pada model berkenaan bagi membantu mengesan serta mengurangkan risiko pelanggaran membabitkan penunggang motosikal.

Menurut Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, keselamatan pengguna jalan raya terus menjadi keutamaan syarikat dalam membangunkan teknologi kenderaan elektrik.

Beliau berkata, kejayaan memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP sebelum ini, diikuti anugerah terbaharu tersebut, membuktikan komitmen pasukan kejuruteraan iCAUR dalam meningkatkan tahap keselamatan kenderaan moden.

Katanya, menerusi prinsip ‘Born to Play. Built for Safety’, iCAUR akan terus menghasilkan kenderaan yang bukan sahaja menawarkan pengalaman pemanduan menarik, malah memberikan keyakinan kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Majlis 6th ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2026 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah.

Penganjuran itu turut diadakan serentak dengan Kursus Keselamatan Kenderaan (VSC) kali kesembilan yang menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik keselamatan jalan raya dan pemain industri automotif bagi memperkukuh standard keselamatan kenderaan di rantau ASEAN.

Google ads
Back to top button