
TERKINI: VOGE SR250GT MASUK MALAYSIA TAHUN INI – 25.5HP, 23NM
Segmen skuter 250cc di Malaysia akan dimeriahkan lagi dengan model baharu tidak lama lagi kali ini menerusi VOGE SR250GT.
Berdasarkan maklumat diperolehi, skuter maxi 250cc itu dijangka akan dilancarkan tahun ini oleh pengedar rasmi, MForce Bike Holdings.

Ketibaan SR250GT bukan lagi berita mengejutkan apatah lagi skuter tersebut turut membuat penampilan ketika di Scooterian Mega Gathering 3.0 yang berlangsung di Terengganu, Mei lalu.

Atas kertas, SR250GT dipacu enjin satu silinder 244.3cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 25.5hp pada 8,250rpm dan 23Nm pada 6,500rpm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi CVT.

Berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan di pasaran global, SR250GT ini dilengkapi dengan ciri terkini termasuk ABS dwi-saluran dan fungsi traction control secara standard.

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, tangki bahan api berkapasiti 14L serta penghadang angin boleh laras. Menariknya, skuter ini turut dilengkapi dengan fungsi grip pemanas (heated grip) namun belum dipastikan sama ada fungsi itu turut ditawarkan disini.







