
ALKISAH PERJALANAN KEMENANGAN KE 100 TOYOTA DALAM WRC
Barangkali tiada siapa akan menyangka bahawa lama dahulu jenama Toyota ini hanyalah menyertai perlumbaan rali dunia melalui pasangan persendirian dan beroleh kemenangan pertama pada tahun 1973 sekali gus kini berterusan menjadi suatu jenama yang cukup digeruni dalam sukan rali.
Tahukah anda bahawa Toyota adalah merupakan pengeluar kedua yang berupaya mencatatkan kemenangan 100 kemenangan dalam pentas WRC, di belakang Citroen yang mendahului rekod hanya dengan 102 kemenangan. Sikit lagi sahih pecah rekod.
Jom baca antara peristiwa penting sepanjang 100 kemenangan oleh Toyota ini.
Kemenangan Pertama (1973) – Walter Boyce/Doug Woods – Press-on Regardless Rally (USA) – Toyota Corolla Levin TE27
Pemandu berasal dari Kanada Walter Boyce bersama Juruarah Doug Woods yang merupakan pelumba persendirian berjaya membawa jenama Toyota meraih kemenangan ketika musim sulung perlumbaan rali dunia dengan hanya memandu Toyota Corolla Levin TE27 walau pun hadir dengan bajet yang terhad.

Kemenangan Ke 2 (1975) – Hannu Mikkola/Atso Aho – Rally Finland – Toyota Corolla Levin TE27
Kemenangan WRC pertama sebagai pasukan pengeluar tiba pada tahun 1975 apabila Hannu Mikkola dan Atso Aho memandu Toyota Corolla Levin TE27 untuk kemenangan di Rally of 1000 Lakes in Finland.
Jelas sekali ianya menjadi detik penting buat Toyota apabila muncul sebagai pengeluar pertama dari Jepun untuk memenangi perlumbaan WRC dan Toyota muncul sebagai pemenang di tempat ketujuh bagi kategori pengeluar pada tahun itu.

Kemenangan ke 25 (1992) – Carlos Sainz/Luis Moya – Rally Catalunya – Toyota Celica Turbo 4WD
Carlos Sainz berjaya meraih kemenangan ke 25 untuk Toyota dalam detik yang cukup beremosi apatah lagi berlumba di bumi sendiri Sepanyol dalam usaha meraih kejuaraan WRC kedua untuk beliau. Malah beliau berjaya meraih kemenangan menewaskan Juha Kankkunen.

Kemenangan ke 44 (2017) – Jari-Matti Latvala/Miikka Anttila – Rally Sweden -Toyota Yaris WRC
Selepas 18 tahun Toyota menghilang dari pentas WRC, musim ini merupakan kemunculan semula Toyota dan Jari-Matti Latvala berjaya meraih kemenangan ke 44 di Sweden bagi meraih kemenangan yang agak bermakna dengan menggunakan Toyota Yaris WRC serba baharu untuk menewaskan Ott Tanak hanya selepas perlumbaan kedua.
Musim 2017 menyaksikan Toyota meraih tempat ketiga dalam kategori Pengeluar dalam perebutan kejuaraan.
Kemenangan ke 50 (2018) – Jari-Matti Latvala/Miikka Anttila – Rally Australia – Toyota Yaris WRC
Jari Matti-Latvala berjaya meraih kemenangan ke 18 buat diri sendiri dan yang terakhir untuk dirinya di Australia. Malah ianya dilihat cukup bermakna musim 2018 apabila Toyota berjaya meraih kemenangan kategori Pengeluar disamping Ott Tanak yang cukup cemerlang dengan empat kemenangan WRC musim tersebut.
Kemenangan ke 69 (2021) – Sébastien Ogier/Julien Ingrassia – Rally Monza – Toyota Yaris WRC
Kemenangan dramatik Sebastien Ogier di Monza ini cukup mendebarkan memandangkan ini kali terakhir beliau beraksi semusim penuh bersama Toyota. Malah di Monza juga beliau dinobatkan juara WRC buat kali ke lapan serta kemenangan Toyota untuk kategori Pengeluar buat kali kelima.

Kemenangan ke 93 (2024) – Elfyn Evans/Scott Martin – Rally Japan – Toyota GR Yaris Rally1 Hybrid
Toyota sekali lagi meraih kemenangan Pengeluar buat kali kelapan di bumi sendiri apabila Elfyn Evans berjaya memenangi perlumbaan di samping persembahan hebat Sebastien Ogier ketika Wolf Power Stage untuk mengutip mata penting bagi menentukan kemenangan Toyota dengan perbezaan hanya tiga mata sahaja
BACA : WRC 2025 – SAMI PAJARI ANTARA BARISAN PEMANDU TOYOTA GAZOO RACING MUSIM WRC 2025

