
AMBIL MAKLUM ISU EKZOS, MFORCE BAKAL LAKSANA RECALL QJMOTOR AX200S
MForce Bike Holdings Sdn Bhd mengambil maklum akan masalah yang melanda pemilik skuter popular, QJMotor AX200S.
Ketika ini terdapat beberapa pemilik AX200S yang mengadu akan masalah ekzos retak dan kejadian itu telah pun menerima perhatian pihak MForce.
Menyedari perkara itu, MForce dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan di samping mengenal pasti langkah baik pulih yang wajar bagi pengguna terkesan.

Lantas, MForce akan melaksanakan program panggilan semula (recall) yang komprehensif bagi menggantikan semua unit yang terkesan.
Menurut MForce, unit yang terkesan akan digantikan dengan alat ganti (ekzos) yang telah dinaik taraf tahap ketahanan.
Dalam pada itu, kami difahamkan pihak MForce bersama-sama QJMotor sedang memantau perkembangan ini secara serius dan akan mengambil langkah bagi menangani permasalahan dihadapi pengguna.








