Artikel Pilihan

“AMORTIZE”, MUNGKIN INI SEBAB PROTON PERSONA BARU TIADA ADAS

Bagi orang kebanyakan, perkataan “amortize” mungkin kedengaran sangat janggal dan tidak kedengaran langsung dalam kamus hidup. Tapi bagi sesiapa sahaja yang pernah terlibat dengan pembangunan projek terutama projek automotif ia adalah istilah yang biasa digunakan.

Amortize secara ringkasnya ialah kos pembangunan satu-satu projek yang merangkumi peralatan, mesin, production line atau apa sahaja yang melibatkan pelaburan mesin bagi membangunkan model baru atau ciri baru pada satu-satu kereta serta berapa lama kos tersebut akan break even atau balik modal. Lagi cepat lagi bagus.

Dunia pengeluaran industri automotif sebenarnya agak unik jika dibandingkan dengan dunia perniagaan yang lain. Bagi vendor membekalkan satu-satu komponen kepada pengeluar, harga komponen akan dipengaruhi oleh jumlah (volume) pengeluaran dalam masa setahun / sebulan. Semakin banyak tempahan yang dibuat oleh syarikat kereta, semakin murah harga satu komponen dan semakin cepat vendor balik modal (amortize)

Tapi ia sebenarnya bergantung pada jangkaan tempahan yang diterima oleh unit jualan syarikat kereta tersebut, kalau unit jualan menjangkakan satu model yang baru diperkenalkan akan mudah diterima ramai maka mereka boleh menempah banyak komponen dari pembekal yang akan merendahkan lagi harga komponen dan membantu vendor amortize pelaburan mereka dengan cepat

Tapi kalau silap jangkaan, terlebih menempah komponen tapi tiada siapa yang beli maka bencana besar menimpa. Kalau tiada pembeli kereta, macam mana nak bayar pembekal dalam masa 60 atau 90 hari seperti yang termaktub dalam kontrak pembekalan.

Berdasarkan maklumat dari perbincangan maya pada bulan lepas, kos pembangunan ADAS memerlukan sekitar RM 2000 (anggaran) untuk dipasang pada Proton Persona. Kos ini tidak termasuk kos keuntungan yang akan dikenakan pada harga jualan, ye la nak jual kena ada untung. Kita nak meniaga bukan nak buat NGO.

Ok untuk senang pengiraan kita anggap Proton akan menaikkan sehingga RM 3000 bagi model Proton Persona Premium CVT menjadikan harga jualan kereta RM 57,900 selepas dipasang dengan ADAS. Bagi model Persona Executive CVT ia akan menjadikan harga jualan sekitar RM 53,100.

Kenaikan harga ini akan memposisikan Proton Persona dalam keadaan yang merugikan kerana harga yang mahal akan mengurangkan minat pembeli. Ia juga akan mengurangkan kebarangkalian pembeli untuk membeli Proton Persona dan akhirnya menjejaskan jumlah pengeluaran tahunan Persona. Jumlah pengeluaran yang sedikit akan menyebabkan amortization period (tempoh balik modal) akan bertambah panjang.

Kalau tak balik modal, vendor biasanya akan meminta meminta pelanggan untuk menanggung kos pelaburan yang tak balik modal tadi. Sebagai contoh, satu unit kos moulding yang digunakan untuk mengasilkan komponen plastik dengan kaedah plastik injection mungkin boleh mencecah sehingga RM 100k-200k bergantung kepada rekaan mould.

Kalau ikut sejarah, ada saja model kereta yang dihasilkan dan tidak balik modal. Sasaran asal ialah 3000 unit sebulan tapi jualan sebenar model tersebut ialah 300 unit sahaja sebulan. Ada vendor pernah mengeluh, amortization period bagi model ini mungkin 15 tahun baru balik modal. Naya, modal dah keluar tapi tak untung

Pelaburan satu ciri baru pada kereta atau satu model baru bukan benda mudah tuan-tuan, silap kira mau terlingkup. Kalau vendor tak puas hati, silap hari bulan kena tindakan mahkamah. Jadi pada pendapat penulis, tindakan tidak memasukkan ciri ADAS ini adalah tindakan selamat bagi model Proton Persona dalam aspek komersial

Proton Persona perlu dijual, mendapat untung maksima dengan kos pembangunan yang sangat minima dan risiko seminima mungkin. Lagipun pada jangkaan penulis, mungkin model pengganti Persona sudah dibangunkan dan dipasang dengan ciri ADAS. Jadi model yang ada sekarang tidak sesuai dimasukkan ciri ADAS atas sebab komersial

Persona MC2 masih lagi dipadankan dengan 6 beg udara SRS, sistem kawalan kestabilan elektronik ESC, sistem kawalan cengkaman, Hill Hold Assist, serta lampu depan LED bagi pemanduan meyakinkan pada waktu malam. Kalau boleh tambah Sistem Amaran Titik Buta dan Sistem Amaran Lintasan Belakang lagi cantik, sebab penulis tahu 2 komponen ini sebenarnya tak rumit untuk dipasang dan harganya tak mahal.

Google ads
Back to top button