Buletin

BRITAIN DEDAH FOTO KAPAL PERANG MASA DEPAN

Tentera Laut Diraja Britain baru-baru ini mendedahkan beberapa lakaran cadangan reka bentuk empat kapal perang masa depan negara itu.

Menurut laporan Daily Mail, lakaran terperinci kapal perang berkonsep futuristik itu dihasilkan oleh beberapa jurutera dari industri dan akademik di bawah program kendalian UK Naval Engineering Science and Technology (UKNEST).

Ia bertujuan membantu Tentera Laut Diraja Britain mengembangkan idea bagi membangunkan armada kapal tentera autonomi yang boleh beroperasi dalam tempoh 50 tahun akan datang. Lakaran cadangan itu antara lain membabitkan sebuah pembawa kapal selam perang serta stesen dron besar yang akan dipasang pada belon helium dan berpangkalan di stratosfera.

Setakat ini, Tentera Laut Diraja Britain masih belum mendedahkan sebarang anggaran kos lakaran kapal perang yang dikemukakan.

Konsep reka bentuk empat kapal perang itu dinamakan sebagai Fast Strike, Underwater Platform, Carrier Vessel dan Surface Combatant.

Fast Strike terdiri daripada belon helium besar yang digerakkan oleh tenaga solar dan berpangkalan di stratosfera, lapisan kedua atmosfera Bumi. Underwater Platform pula memiliki reka bentuk menyerupai mamalia dan hanya perlu dikendalikan secara minimum ketika melakukan rondaan di dasar laut.

Konsep reka bentuk Carrier Vessel digambarkan sebagai sebuah kapal berbentuk segi empat tepat dan berwarna hitam yang berlayar di permukaan air. Surface Combatant pula mampu berlayar pada permukaan air dengan mengeluarkan pod bagi membenarkan anggota tentera laut memasuki kapal tersebut. – Utusan Malaysia 

Google ads
Back to top button