,
Artikel Pilihan

APA ISTIMEWANYA HONDA CIVIC FD2 TYPE-R?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas sedikit sebanyak tentang jentera yang sangat popular di Malaysia ini iaitu Honda Civic FD Type R.

Honda Civic FD2 Type R ini merupakan model ketiga di dalam keluarga Honda Civic Type R selepas EK9 dan EP3. Model ini mempunyai kembar yang dianaktirikan iaitu Honda Civic FN2 Type R. Untuk model FN2R kita sembang di lain artikel.

Model ini dilahirkan di Jepun dan dilancarkan pada tahun 2007. Ketika pelancaran, hanya ada dua negara sahaja yang menerima model ini iaitu JEPUN dan MALAYSIA.

Ye Tuan-Tuan. Malaysia tanah air tercinta kita ini merupakan satu-satunya negara yang menerima Honda Civic FD2 Type R melalui pengedar sah. Dan melalui model ini juga, buat julung kalinya Honda Jepun melancarkan model JDM di negara luar. Sebelum ni tiada model JDM Honda dilancarkan di negara lain. Malaysia yang pertama. Jentera ini juga merupakan model pertama Civic Type R 4 pintu ! EK9 dan EP3 2 pintu sahaja bohhhh !!!

Apabila jentera ini melalui pengedar sah, ia bermakna jentera ini juga datang dengan jaminan. Honda Malaysia memberikan jaminan 3 tahun untuk jentera ini beserta terma dan syarat yang perlu dipatuhi. Jika anda ada nampak rakyat negara jiran kita Singapura atau Thailand memakai jentera ini, itu bermaksud mereka membawa masuk melalui “Parallel Importer”.

Sekarang kita pergi pada ciri-ciri jentera ini.

Jika dibandingkan dengan model Civic Type R sebelumnya iaitu EP3, FD2R ini adalah lebih besar, lebih lebar, dan lebih berat. Namun, semua ini ditutup dengan enjin yang lebih berkuasa. Dimensi jentera ini adalah seperti berikut :-

  • Panjang – 4,540mm
  • Lebar – 1,770mm
  • Tinggi – 1,430mm
  • Berat – 1,260kg

Jentera ini dikuasakan dengan enjin berkod K20A i-VTEC yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 221hp dan daya kilas sebanyak 215Nm. Sangat kuat sebenarnya bagi enjin NA.

Mekanisma i-VTEC berfungsi ketika 5,800rpm dan ngauman dihadkan kepada 8,600rpm. Menurut pihak Honda, kuasa 221hp ini dapat diekstrak oleh enjin hanya apabila bahanapi petrol RON100 digunakan. Jika RON yang lebih rendah digunakan, sistem pengurusan enjin secara automatik menurunkan kadar kuasa untuk mengelakkan berlakunya “Knocking”.

Dari segi kuasa, sebenarnya K20A bagi model FD2R ini adalah yang paling berkuasa dalam kelasnya jika dibandingkan dengan model-model produksi yang dilengkapi dengan K20A yang lain. Berikut merupakan catatan masa bagi jentera ini :-

  • 0-100km/h – 6.6saat
  • 0-200km/h – 27.7saat

Kuasa yang dihamburkan oleh enjin seterusnya disalurkan ke kotak gear manual nisbah rapat 6-kelajuan. Nisbah gear bagi sistem transmisi ini adalah seperti berikut :-

  • Gear 1 – 3.266
  • Gear 2 – 2.13
  • Gear 3 – 1.517
  • Gear 4 – 1.147
  • Gear 5 – 0.921
  • Gear 6 – 0.738
  • Gear Gostan – 3.583

Kawalan kuasa seterusnya diberikan kepada unit Helical LSD. Unit Helical LSD adalah ciri asas pada FD2R ini. Semua ada. Tiada yang terkecuali.

Sistem suspensi jentera ini menggunakan sistem jenis topang MacPherson di bahagian depan dan Double Wishbone di bahagian belakang. Sistem suspensi ini nampak sama, tapi sebenarnya berbeza daripada model FD 2.0L yang berada di pasaran.

Bagi penyerap hentak bahagian hadapan, kadar redaman atau Damping Rate adalah lebih tinggi sebanyak 1.25 kali berbanding model FD biasa. Unit bar penstabil atau Stabilizer Bar dibuat dengan lebih keras dan tebal. Unit pegas atau spring menerima rombakan apabila dibuat dengan lebih keras dan rendah.

SUSPENSI BREK & TAYAR

Unit sistem suspensi bagi bahagian belakang juga berbeza daripada Honda FD 2.0L biasa itu apabila menerima penyerap hentak yang mempunyai kadar redaman yang lebih tinggi, spring lebih keras dan rendah dan bar penstabil lebih besar. Jika kita lihat pada komponen yang digunakan, secara logiknya pengendalian yang ditawarkan adalah lebih mantap. Namun bukan sahaja logik, tetapi memang mantap.

Masih di dalam topik pengendalian, jentera ini dilengkapi dengan rim alloy bersaiz 18 inci beserta tayar Bridgestone Potenza RE070 bersaiz 225/40R18 bagi keempat-empat tayar. Saiz sama, baru senang buat pusingan tayar berkala (Rotate tayar).

Kuasa hentian diberikan kepada sistem brek cakera yang terdapat pada keempat-empat unit tayar. Buat pertama kalinya bagi model Civic, jentera FD2R ini menerima angkup brek 4 piston daripada Brembo sekaligus menawarkan kuasa brek yang meyakinkan.

Saiz rotor pula adalah 320mm di hadapan dan 282mm di belakang. Sistem brek jentera ini juga dibantu secara elektronik oleh unit ABS dan EBD yang telah ditala khas khusus untuk model FD2R ini.

Nampak tak ? Bukan enjin je Honda tala, brek pun sama. Apa guna kalau konfiden pergi 0-100km/h kalau 100-0km/h berdiri tekan brek kan ? Semuanya mesti berjalan seiring.

CIRI KESELAMATAN

Ciri ciri keselamatan jentera ini merangkumi sistem beg udara, lampu hadapan HID dan Clutch Start System. Clutch Start System ini maknanya pemandu hendaklah menekan klac dahulu sebelum enjin dihidupkan.

Kalau tak tekan klac, enjin tak hidup. Bagus sistem ni, kadang-kadang kita lupa yang gear dekat 1, kena pula parking kat bukit. Tak tekan klac, tak free kan gear terus hidupkan enjin. Kereta melompat lalu berciuman pula dengan kereta hadapan. Punah segalanya.

Sekarang kita pergi pada chassis. Menurut pihak Honda, chassis FD2R ini adalah lebih kukuh sebanyak 50% daripada JDM Honda Integra DC5 Pre-Facelift dan 25% lebih kukuh daripada DC5 Facelift.

Fuhh ! Kalau dah namanya Type R, chassis mesti dah sedia kukuh. Namun Honda melakukannya dengan lebih baik pada FD2R. Nampak betul keseriusan mereka dalam hal ini.

Apa yang menarik, dengan segala rombakan yang dilakukan, FD2R hanya 70-80kg lebih berat sahaja daripada DC5R. Kalau Abam Jakpor masuk dalam DC5R tu dah sama dah berat kedua dua kereta. Hahaha.

Kita pergi pula pada bahagian dalaman, model FD2R ini menerima kerusi khas Type R sebagai ciri asas. Unit meter kluster juga khusus dibuat untuk FD2R dengan logo Type R di dalamnya. Seterusnya adalah unit audio Alpine 2-Din CD tunggal. Okay lah ni. Bawa Type R kut. Kunci pula dilengkapi dengan sistem Keyless Entry.

Untuk penggunaan petrol, gabungan pemanduan bandar dan lebuhraya adalah bersamaan 13.1Liter per 100Kilometer (13.1L/100km). Boleh tahan lah.

Tangki bahanapi yang dibekalkan pula adalah berkapasiti 50liter. Anggaran jarak pemanduan ketika bahanapi penuh adalah lebih kurang 382km. Boleh lah ni, kereta sukan kan. Bukan EEV.

Pada tahun 2009, Honda Malaysia melancarkan model FD2R Facelift dimana terdapat beberapa perubahan fizikal yang berlaku seperti berikut :

  • Perubahan corak lampu belakang daripada bentuk bulat ke bentuk bersegi seakan berlian.
  • Unit cermin sisi boleh dilipat secara elektronik.
  • Sistem audio 2-Din dilengkapi dengan port USB. Baru lah boleh layan lagu Madah Berhelah tanpa sangkut-sangkut.

Dah baca sampai sini ? Haha. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa ceritanya dengan model Mugen RR ?

Produksi Model Mugen RR ini hanya terhad sebanyak 300 unit sahaja dan hanya untuk pasaran Jepun. Jentera ini mula dijual pada 13 September 2007 di Jepun. Dengan produksi yang terhad, harganya juga akan meningkat saban tahun.

Perbezaan model Mugen RR ini dengan FD2R pertamanya adalah kuasa. Kuasa yang dapat dihamburkan oleh K20A pada Mugen RR adalah lebih tinggi dengan nilai 237hp dan daya kilas sebanyak 218Nm.

Nilai ini dapat diekstrak dengan penukaran beberapa komponen buatan Mugen seperti Aci Sesondol, Sistem Ekzos, Sistem Masukan Udara serta talaan ECU.

Kemudian, jentera ini menerima sepasang kerusi Recaro SP-X, set rim dari Mugen dan beberapa jajan bercop Mugen. Dan yang paling penting, warna ikonik Milano Red menjadi satu-satunya warna bagi Mugen RR ini. Anda takkan jumpa model Mugen RR berwarna selain daripada Milano Red.

Namun apakan daya, disangkakan panas sampai ke petang, namun hujan di tengah hari. Produksi jentera FD2R ini dihentikan pada bulan Ogos tahun 2010 akibat tidak mematuhi peraturan emisi semasa.

Dilaporkan, lebih kurang hanya 13,000 unit sahaja FD2R dihasilkan. Ini bermakna, jumlah produksi FD2R ini adalah lebih kecil daripada Honda Civic EK9 Type R Tuan Tuan sekalian. Dan beruntunglah wahai rakyat Malaysia kerana kita merupakan negara terpilih untuk menerima model ikonik ini. Walaupun dengan tag harga RM199,980, ianya habis dijual di Malaysia.

Orang Malaysia memang kaya-kaya.

Kepada pemilik-pemilik FD2R di Malaysia ini, simpanlah jentera anda baik-baik. Bukan sahaj kerana jentera ini terhad, namun ianya juga merupakan model Civic Type R terakhir yang dikuasakan dengan enjin NA. Model selepasnya iaitu FK2R sudah mula menggunakan enjin turbo.

Kesimpulannya, ini lah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan dengan Tuan-Tuan serta Puan-Puan sekalian tentang kisah FD2R ini.

Sedar tak sedar, sudah lebih 10 tahun model ini berada di atas jalanraya di Malaysia ini. Namun, disebabkan rekaannya yang malar hijau, ia tidak jemu dipandang. Malah masih mampu membuatkan kepala seseorang berpaling apabila mendengar ngauman ekzosnya. Terima kasih Honda. Terima kasih juga Honda Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button