Buletin

PROTON KINI DI TANGGA KEDUA CARTA JUALAN KESELURUHAN!

PROTON kini kembali sebagai nombor dua dalam jumlah keseluruhan jualan untuk pasaran automotif Malaysia. Kali terakhir Syarikat berada di dalam kedudukan yang sama adalah pada Mac 2016, manakala kedudukan yang sama dalam tahun kalendar pula adalah pada tahun 2015.

Jualan sebanyak 8,590 unit untuk bulan Julai bermakna momentum positif untuk tahun ini, telah dibawa ke hadapan untuk tujuh bulan berturut-turut menjadikan PROTON sebagai satu-satunya jenama yang mencapai kejayaan itu pada 2019.

Pegangan pasaran bagi bulan lepas dianggarkan sebanyak 16.5% dengan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dianggarkan pada 51,960 unit. Pegangan pasaran keseluruhan PROTON untuk tahun ini kini dianggarkan sebanyak 15%.

Jualan terus meningkat dari tahun ke tahun Pada 12 bulan yang lalu, jualan automotif di Malaysia meningkat apabila pembelian tanpa cukai dilaksanakan dari bulan Jun sehingga Ogos. PROTON, sama seperti semua jenama automotif lain, mencatatkan jualan yang baik bagi 2018 sepanjang tempoh tiga bulan tersebut. Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, meskipun tiada lagi pembelian tanpa cukai dilaksanakan, jualan PROTON terus menunjukkan pertumbuhan positif.

Setelah mencapai kenaikan sebanyak 23% pada bulan Jun, jualan Syarikat terus meningkat sebanyak 6% pada bulan Julai. Walaupun kadar pertumbuhan berkurangan, disebabkan jualan yang kukuh yang dicatatkan pada tahun 2018, PROTON merupakan satu-satunya jenama automotif yang menunjukkan pertumbuhan positif untuk bulan lepas, membuktikan permintaan yang tinggi pada produknya.

Bagi tahun ini, jumlah jualan kini adalah sebanyak 52,269 unit berbanding 35,561 pada tahun 2018, bersamaan pertumbuhan sebanyak 47% dalam keseluruhan jualan dari tahun ke tahun.

“Kedudukan PROTON kembali ke tempat kedua secara keseluruhan dalam pasaran automotif Malaysia telah berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan. Peningkatan permintaan pada produk menunjukkan Syarikat berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran jangka panjang dan sepanjang tahun 2019, kami berhasrat untuk mengukuhkan kedudukan kami bagi mengakhiri tahun ini di tempat kedua buat pertama kalinya dalam tempoh empat tahun. Dengan pelancaran Proton Saga 2019 tidak lama lagi dan dengan pengenalan produk lain dalam perancangan, Syarikat yakin akan mendapat hasil yang lebih baik pada masa hadapan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Google ads
Back to top button