Artikel Pilihan

APA ITU ANTI-LAG DAN BAGAIMANA IA BERFUNGSI?

Semua kenderaan bila ditambah dengan pengecas turbo ia bermaksud lebih kuasa atau dengan frasa popular sekarang ‘tekan-tekan preggy’. Bagi kereta produksi biasa pula pengecas turbo lebih kepada untuk penjimatan bahan api.

Kebanyakan kenderaan moden sekarang memang dilengkapi dengan pengecas turbo bertujuan untuk mengekstrak lebih kuasa dari enjin bersaiz kecil. Pengeluar kenderaan sebenarnya sudah menggunakan pengecas turbo sejak tahun 60 an tapi walaupun ia semakin popular untuk kereta-kereta produksi, penggunaan anti-lag adalah tidak sesuai untuk kereta jalanan biasa. Apa benda anti-lag ni bang?

Macam kami katakan tadi menambah pengecas turbo membolehkan pengeluar mendapat keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Penggunaan enjin lebih kecil yang ditambah pengecas turbo membolehkan mereka memperolehi kuasa yang sama dengan enjin V8 yang lebih besar.

Memaksa udara mampat yang lebih dingin ke dalam enjin sewaktu memecut akan membolehkan pembakaran bahan api yang lebih banyak. Lebih udara dan lebih bahan api bermakna lebih kuasa bila pedal minyak di tekan.

Teknologi turbo ini sendiri sebenarnya datang dari dunia perlumbaan dan wang yang dilaburkan di medan perlumbaan ini sebenarnya merupakan satu pelaburan untuk menghasilkan kereta jalanan yang lebih baik. Hanya penghujung tahun 80 an barulah pengecas turbo mula diperkenalkan kepada kereta jalanan sebelumnya yang ada hanyalah pada kereta lama keluaran GM, Corvair 1962 dan Oldsmobile F-85 Jetfire. Cool betul namanya pun.

Balik kepada soalan tadi, apa benda anti lag ni? Dalam perlumbaan pengecas turbo akan didesak sehingga kehadnya. Contoh penggunaan anti lag kali pertama ialah pada jentera Ferrari dengan enjin 126CK tahun 1981. Kereta F1 tersebut dilengkapi dengan enjin V6 turbo berkembar ketika berlumba di Grand Prix San Marino. Ia menghasilkan bunyi ekzos yang nyaring dan menghamburkan api dari ekzos sewaktu pendikit dilepaskan tapi tahap boostnya berjaya dikekalkan.

Ini penting kerana kebanyakan pengecas turbo memerlukan masa untuk mengumpul tekanan boost bagi menghasilkan kuasa yang diperlukan. Kegagalan mengawal pendikit akan membuatkan pemandu kehilangan tekanan boost dan ia memerlukan masa agar boost berada pada tekanan yang diperlukan.

Anti lag berfungsi menukar turbin kuasa kepada turbin gas bila pendikit ditutup. Injap yang dilekatkan pada setiap manifold ekzos akan terbuka sewaktu pendikit dilepaskan. Injap ini kemudian akan mengalihkan aliran udara disekeliling enjin agar masuk ke dalam manifold ekzos. Kelajuan perumah turbin dikekalkan dengan campuran bahan api, mengubah aliran udara dan tetapan pencucuhan yang dikawal oleh ECU.

Bila pendikit ditekan kembali tiada lagi masa menunggu untuk mengumpul tekanan boost sekaligus memberikan kuasa yang spontan untuk pelumba.

Siapa yang perlukan anti-lag ni?

Ia sebenarnya cukup popular dalam perlumbaan rali di mana tekanan boost segera diperlukan untuk memecut keluar dari selekoh. Sewaktu anti lag diaktifkan, ia menembak udara panas terus ke pengecas turbo bagi memastikan ia sentiasa berpusing.

Sebab itulah kalau kita menyaksikan perlumbaan rali semasa pelumba mengurangkan kelajuan untuk memasuki selekoh akan kedengaran bunyi letupan macam bertih goreng dari paip ekzos. Itu tanda anti lag sedang berfungsi.

Cuma anti lag ni ada satu kekurangan. Ia akan memberi tekanan kepada pengecas turbo sekaligus memendekkan jangka hayatnya. Kereta rali tak apa la sebab mereka memang ada bajet untuk itu. Kalau kereta naya oo. Asyik kena tukar pengecas turbo. Sebab itulah ia tidak dilengkapkan pada kereta Ativa. Maaf-maaf. Pada semua kereta jalanan biasa, bukan Ativa je.

Ia tidak perlu pun pada kereta biasa dan memang terlalu mahal untuk direalisasikan dan ia juga sangat-sangat bising. Dengar bunyi ekzos letup-letup waisuku pun dah sakit jiwa inikan pula bunyi anti lag dari kereta anak jiran sebelah.

Google ads
Back to top button