
TOYOTA GR86 TURBO SEDANG DIBANGUNKAN – LAPORAN
Ramai peminat percaya Toyota sepatutnya sudah pun mula menawarkan nadi turbo pada model kereta sports pacuan roda belakang GR86.
Kini, impian tersebut akan direalisasikan oleh Toyota Gazoo Racing, namun usah gembira terlalu awal.
Menurut laporan daripada penerbitan Australia CarSales, mereka mendapat tahu bahawa Toyota sedang membangunkan GR86 dengan enjin turbo.
Ia bukanlah enjin boxer 2.4 liter asal yang telah diubahsuai, akan tetapi ia menggunakan nadi tiga silinder sebaris G16E-GTS 1.6 liter turbo yang sama digunakan pada GR Yaris dan GR Corolla, yang jauh lebih bertenaga berbanding output GR86 sedia ada (228 hp/250 Nm).
Menurut laporan, unit GR86 turbo itu akan digunakan sebagai unit ujian untuk pembangunan bahan api sintetik.
Sebagai makluman, Toyota sudah pun menjalankan kajian penggunaan bahan api hidrogen dengan menggunakan asas enjin yang sama pada jentera lumba Corolla Sport di siri perlumbaan Super Taikyu Jepun.
Ketua jurutera Gazoo Racing, Naoyuki Sakamoto turut memberikan bayangan unit GR86 turbo ini mungkin akan muncul dalam versi produksi sebenar.
“Ya, kami sedang memikirkan untuk masa depan tentang kemungkinan menggunakan tetapan ini, namun buat masa ni tiada sebarang perancangan kukuh terhadap itu. Buat masa ini, kami akan menggunakannya untuk membangunkan bahan api neutral karbon.
Prestasi Toyota GR86 dengan nadi G16E-GTS ini akan dinilai menerusi perlumbaan Super Taikyu Jepun. – CarSales