Pandu Uji

HONDA ACCORD 1.5 TC-P, CUKAI JALAN RM 90 SAHAJA.

Honda Accord generasi ke 10 ini adalah model Accord pertama yang menggunakan enjin dengan saiz enjin kecil tapi ditemani dengan teknologi turbo. Berbeza dengan pengeluar lain yang kekal menggunakan enjin bersaiz besar melebihi 2000cc, hanya Honda adalah pengeluar automotif yang berani berinovasi dengan enjin kecil dengan teknologi turbo.

Enjin 2000cc i-VTEC dan 2400cc i-VTEC diketepikan bagi memberikan laluan kepada enjin L15BE yang menghasilkan 198 kuasa kuda dan 260Nm tork. Disebabkan hanya bersaiz 1500cc, pemilik hanya perlu membayar cukai jalan RM 90 sahaja setahun, sama dengan Perodua Myvi 1.5. Tapi ia masih kekal jimat sama seperti enjin 1500cc aspirasi normal

Berbalik kepada rekaan Honda Accord yang kontreversi, pada hemat kami target audience satu satu produk ni bergantung pada umur pembeli. Kalau pembeli muda, rekaan yang digunakan akan lebih berani. Kalau pembeli sudah berumur, rekaan yang digunakan adalah lebih selamat dan matang.

Tapi kelemahan rekaan yang terlalu ranggi ia akan cepat dimakan usia. Sebagai perbandingan Honda Civic FC dan juga Mazda 3 2015 yang hampir sama usia, namun pada pandangan penulis rekaan Mazda lebih “timeless” dan tidak menggunakan sudut serta garis tajam seperti Honda.

Mungkin menyedari aspek ini, kita boleh lihat rekaan Honda bermula dengan Accord, City dan juga Civic sudah mula menggunakan falsafah rekaan yang lebih matang, selamat dan kemas. Nak kata rekaan yang digunakan oleh Accord ini terlalu tua pun tidak juga kerana selepas beberapa hari memandu, penulis boleh menerima rekaan Honda Accord generasi ke 10.

Dengan panjang 4901mm, lebar 1862mm serta tinggi 1450mm sebenarnya Honda Accord lebih besar berbanding model sebelumnya. Malah ia juga direndah sebanyak 5mm di bahagian bumbung serta pusat graviti direndahkan 10mm berbanding model generasi 9 bagi menghasilkan rekaan yang lebih sporti

Jadi bila digabungkan dengan enjin yang lebih berkuasa, Honda Accord sebenarnya nampak dan rasa lebih “muda” berbanding model lama. Dengan jarak antara roda mencecah 2830mm, Accord menawarkan ruang kabin yang baik apatah lagi Honda ada pengalaman yang bagus dalam membuat susun atur dalaman kenderaan.

Bagi mengekalkan tema eksekutif sport, bahagian dalam mengekalkan warna hitam, disertakan sedikit dengan kemasan krom dan juga hitam berkilat. Hanya bahagian headliner diberikan dengan warna cerah, menghasilkan bahagian atas kepala yang luas.

Paparan meter pula direka dengan gabungan penggunaan meter analog dan juga digital yang cukup terang dengan teknologi LED. Sekali pandang anda sudah tahu berapa baki petrol, cara pemanduan dan juga pelbagai maklumat lain yang boleh dipilih

Keseluruhan kabin dan ruang dalaman Accord adalah tipikal sebuah Honda, ia luas, selesa, anda akan duduk rendah berbanding dengan kereta sedan D yang lain dan paling penting ia ada ruang kargo belakang yang luas, sekitar 570 liter walaupun ruang ini berkongsi komponen dengan sistem suspensi MultiLink

Dalam aspek pemanduan, pujian harus diberikan pada enjin L15BE 1500cc yang lengkap dipasang dengan turbo ini. Dalam keluarga L15B, varian L15BE adalah paling berkuasa dipasang pada Accord lengkap dengan sistem VTEC bagi membantu operasi turbo dan boost setinggi 20.2 psi. Jika anda pandu dengan bersahaja, ia akan kekal beraksi sebagai sebuah enjin 1500cc.

Hasilnya untuk pemanduan sejauh 265km, penulis berjaya mencatatkan bacaan sekitar 18km per liter kerana apabila sampai di destinasi hanya 14.63 liter petrol sahaja perlu diisi semula untuk memenuhkan tangki. Terlalu jimat untuk sebuah sedan segmen D yang beratnya mencecah 1494kg.

Tapi jika anda meminta ia menghasilkan 198 kuasa kuda, Accord dengan senang sahaja menghamburkan kuasa enjin tanpa teragak-agak. Malah sukar untuk percaya yang semua kuasa ini dihasilkan daripada enjin 1500cc sahaja. Penghantaran kuasa adalah sangat linear dengan bantuan transmisi CVT yang turut menawarkan opsyen pilihan gear 7 kelajuan maya

Berdasarkan pengalaman penulis yang pernah menggunakan kenderaan Honda, CVT yang dipasang pada Accord amat sensitif, tapi lembut dan senyap. Sebaik sahaja ia bergerak anda tak rasa CVT ini ada kelemahan. Tiada gegaran, tiada sentakan atau bunyi bising daripada takal CVT dan rantai besi yang sedang beroperasi

Anda boleh menukar gear dengan menggunakan penukar gear yang berada di belakang roda stering bagi mengawal input gear, jika anda berhajat untuk memandu dengan semangat. Atau aktifkan sahaja mode Sport bagi semangat kesukanan dan VTEC yang sinonim dengan Honda.

Paparan meter akan menjadi merah, meter RPM akan berubah sedikit dan paparan meter boost turbo akan ditambah di bahagian bawah meter RPM. Tetapan gear akan direndahkan bagi meruntun emosi anda agar terus menekan pedal minyak. Ketika ini barulah terasa sedikit sentapan setiap kali pedal minyak ditekan

Rasanya Accord memang ditala begitu, bagi memprovokasi pemandu agar terus mengejar kereta di depan. Tapi selepas teringat ada satu lagi saman perangkap hadlaju yang masih tertunggak, penulis matikan sahaja mode SPORT dan kekal pada mode Normal.

Itupun sudah cukup untuk anda memintas kenderaan yang acah – acah laju di laluan kanan lebuh raya. Sistem brek yang ada pada Honda pula memang cukup sensitif, anda perlu belajar agar tak terlebih tekan dan menyebabkan penumpang lain terkejut. Enjin yang cukup kuat dan brek yang berkesan, ini sememangnya sedan segmen D yang sporti

Apatah lagi Honda kekal dengan formula bagi Accord sejak dari dulu iaitu memberikan banyak tumpuan dan perhalusan kepada pengendaliannya. Disebabkan pusat graviti menjadi rendah, maka respon stering adalah pantas.

Ditambah pula dengan sistem Agile Handling Assist iaitu sistem yang akan membrek pada mana-mana tayar ketika anda mengambil selekoh laju, merempit dengan Accord akan buatkan anda tersenyum

Memang seronok Accord ini disebat laju-laju. Sistem suspensi pula secara jujurnya lebih keras daripada Camry tapi tidak sekeras pada kereta Continental. Masih boleh diterima dan tidak akan menyebabkan anda perlu mencari tukang urut untuk memperbetulkan semula pinggang anda selepas perjalanan jarak jauh.

Cuma mungkin orang tua akan mencari kereta lain yang lebih selesa. Sebagai sebuah model flagship Honda, Accord juga turut menerima beberapa ciri tambahan lain yang istimewa seperti:

1. Smart key – datang dengan fungsi “walk away lock” – dimana pintu akan dikunci sebaik sahaja sistem mengesan tiada kunci berhampiran kereta. Fungsi remote start juga adisediakan dengan jarak 30 meter kalau tak ada halangan, jadi anda boleh hidupkan enjin dari jarak jauh untuk menyejukkan kereta jika diparkir dibawah tengah panas

2. Smart Assist Parking System- yang mengggunakan sensor untuk mengira saiz ruang, membetulkan stering kereta dan memasukkan kereta dalam parking. Kita hanya kawal pedal minyak, brek dan gear sahaja

3. Honda Sensing – model TC-P datang dengan ciri Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, AEB Warning, AEB Braking, Adaptive Cruise Control, & Low Speed Follow, Auto High Beam yang mengurangkan beban tugas ketika memandu

4. Sistem pengecasan tanpa wayar di bahagian depan bagi telefon pintar

Tapi disebalik kecanggihan teknologi Honda Accord masih ada beberapa kelemahan dari segi pelaksanaan teknologi yang tidak berapa ketara. Pertama, penulis mendapati kadangkala lampu tinggi tidak dinyalakan di dalam gelap kerana sistem mengesan kehadiran lampu jalan. Sesetengah sistem boleh membezakan lampu jalan dan lampu kereta.

Yang kedua posisi dan ketinggian tombol gear sangat tinggi dan tidak berada pada paras yang sama dengan perehat tangan kiri. Walaupun jarang digunakan selain untuk mengubah kedudukan tombol gear dari P kepada R atau D, namun tombol gear yang tinggi ini menyebabkan kita terasa janggal sedikit

Namun kami masih lagi bersyukur kerana di sebalik lambakan kehadiran SUV pelbagai saiz, Honda masih lagi berupaya menghasilkan sebuah lagi sedan eksekutif bersaiz besar bagi mengekalkan tandanama Accord. Ia sebenarnya satu keputusan yang berani dan harus dipuji

Kita boleh lihat berapa banyak pengeluar automotif dari jenama lain yang sudah tidak menghasilkan sedan segmen C dan D tapi menggantikannya dengan SUV. Honda Accord ini bukan sahaja kekal, tapi mengekalkan falsafah rekaan dia semenjak dari dulu iaitu khas untuk pemilik yang suka memandu

Jadi Accord tidak akan menjadi Camry yang selesa dan lembut, tapi berkuasa dan datang dengan pengendalian yang sporti. Generasi ke 10 membuktikan Accord masih lagi sedan paling berkuasa dalam kelasnya, praktikal dan berjaya mengekalkan harga di bawah RM 200,000 kerana di pasang di Malaysia

Cuma kompromi yang perlu dibuat ialah dengan mengubah rekaannya agar lebih matang dan boleh diterima oleh semua lapisan umur. Alangkah baiknya jika dengan harga RM 187,390 ini Accord mendapat enjin K20C yang menghasilkan 252 kuasa kuda, 370Nm tork, dan transmisi 10 kelajuan automatik. Berangan sangat.

Google ads
Back to top button