
PORSCHE PILIH NAMA 911 DAKAR KERANA NAMA SAFARI ADALAH HAK TATA – PINJAM SEKEJAP PUN TAK BOLEH KE?
Porsche 911 Dakar akhirnya berjaya disiapkan walaupun terpaksa menghadapi kesukaran dari segi luaran dan dalaman. Pembangunan model off-road ini sebenarnya bermula seawal tahun 2012 dan pada masa itu mereka berhasrat menamakannya “Safari”. Ini kerana 911 pernah bersaing dalam kalendar WRC seperti Safari Rally yang diadakan di Kenya. Malah prototaip asal diberi gelaran “911 Vision Safari”.

Malang bagi Porsche kerana Tata memiliki had dagangan untuk nama “Safari” yang berkait dengan produk automobile kerana Tata memiliki model SUV yang dinamakan Tata Safari sejak tahun 1998. Porsche menyangka Tata akan membenarkan mereka turut menggunakan nama Safari keran produk yang dihasilkan adalah berbeza.
Mereka malah telah berunding dengan Tata menurut pengarah program, Thomas Krickkelberg tetapi mereka tidak memberikan kebenaran. Sudah tentu itu adalah Pelan A. Pelan B ialah menggunakan nama Dakar.

Malang sekali lagi buat Porsche kerana nama Dakar yang merujuk kepada ibunegara Senegal juga turut digunakan untuk satu perlumbaan rali. Porsche ingat nama tersebut boleh digunakan tetapi rupa-rupanya mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada penganjur rali tersebut, Amaury Sport Organization untuk menggunakannya.
Kali ini mereka bernasib baik kerana syarikat tersebut bersetuju memberikan kebenaran kepada Porsche dengan imbuhan yang setimpal. Mana ada benda percuma dalam dunia korporat. Kosnya tidak didedahkan oleh kedua-dua belah pihak tapi sekurang-kurangnya 911 versi offroad mereka sudah mempunyai nama.
Itu baharu masalah luaran. Masalah dalaman pula tidak kurang hebatnya. Projek ini menerima tentangan daripada bahagian pemasaran dan jualan yang tidak nampak akan keperluan dan permintaan untuk model 911 offroad. Biasalah, otak kuat mengira mana sama dengan otak peminat kereta.

Projek 911 offroad ini tergantung sehingga tahun 2020 dan kemudian mereka baharulah mereka menemui cara untuk memujuk bahagian pemasaran dan jualan. Bagaimana caranya? Senang sahaja rupanya. Mereka menjemput kakitangan pemasaran dan jualan memandu uji kereta tersebut. Tak lama selepas kelulusan untuk projek terbabit segera diperolehi.
Ingat senang ke nak pilih nama kereta best-best ni. Bukan macam pilih nama anak baharu lahir. Kalau anak lelaki, kalau tak Rayyan mesti Danish. Betul tak?