Buletin

APLIKASI E-PANGGILAN INDRIVER KINI DI MALAYSIA. PELANGGAN BOLEH RUNDING TAMBANG PERJALANAN

inDriver, salah satu aplikasi e-panggilan terkenal di dunia telah memulakan operasi secara rasmi di Malaysia. Ia menawarkan perkhidmatan e-panggilan yang unik di mana penumpang dan pemandu bebas untuk merunding tambang perjalanan.

Perkhidmatan e-panggilan inDriver tersedia di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan, Kuala Terengganu, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu. Syarikat turut merancang untuk melancarkan perkhidmatan di Lembah Klang tidak lama lagi.

Egor Fedorov, Ketua Pegawai Operasi inDriver memberitahu pihaknya gembira kerana dapat memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan yang unik dan inovatif ini di Malaysia.

“inDriver percaya bahawa perkhidmatan e-panggilan perlu mudah diakses, mampu milik dan fleksibel. Dengan membolehkan pengguna kami bebas menentukan dan bersetuju dengan terma perjalanan, kami dapat mengatasi algortima yang digunakan syarikat e-panggilan lain yang meningkatkan harga perjalanan mengikut waktu puncak, keadaan trafik dan sejarah perkhidmatan.

“Ini juga memberikan pilihan yang lebih baik kepada pengguna kami, terutama ketika kita menghadapi cabaran dan ketidakpastian,” katanya.

Aplikasi ini menawarkan fungsi Real-Time Deals (RTD) yang membolehkan penumpang membuat permintaan perjalanan dengan menawarkan tambang yang berpatutan. Pemandu berdekatan akan menerima notifikasi permintaan tersebut dan mereka bebas untuk menerima tawaran tambang itu, melangkau tawaran atau terus tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang lebih baik.

inDriver juga unik kerana penumpang tidak dipadankan dengan pemandu secara automatik. Penumpang akan menerima tawaran balas daripada pemandu berdekatan. Mereka juga boleh memilih pemandu yang memenuhi kehendak mereka dari segi tambang, penarafan pemandu, jangkaan waktu ketibaan atau model kenderaan.

Bagi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang, aplikasi inDriver menyediakan fungsi berkongsi lokasi GPS pengguna dan butiran perjalanan dalam masa nyata dengan orang dipercayai. Aaplikasi berkenaan juga menyediakan butang kecemasan yang akan menghubungkan penumpang atau pemandu terus dengan pihak berkuasa sekiranya menghadapi kecemasan.

inDriver semakin berkembang ke seluruh dunia walaupun menghadapi cabaran getir disebabkan situasi COVID-19. Aplikasi e-panggilan unik ini mencatatkan rekod yang membanggakan pada tahun ini. Syarikat dilapor berjaya menyelesaikan 1 bilion perjalanan di seluruh dunia pada Jun dan melepasi 100 juta muat turun aplikasi di seluruh dunia di platform Android and iOS pada bulan September.

Aplikasi inDriver boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple AppStore, Huawei AppGallery.

Google ads
Back to top button