Buletin

VOLVO CAR MALAYSIA LANCAR PROGRAM JAMINAN ALAT GANTI SEPANJANG HAYAT

Sebagai usaha meningkatkan komitmen terhadap perkhidmatan selepas jualan, Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan program jaminan baharu yang dikenali sebagai Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan (Customer Lifetime Parts Warranty). 

Jaminan itu bertujuan memberi ketenangan fikiran kepada semua pelanggan Volvo sepanjang pemilikan kenderaan mereka.

Pelanggan yang telah membeli dan memasang alat ganti tulen Volvo melalui wakil pengedar sah Volvo mulai 1 Oktober 2021 layak untuk mengambil bahagian dalam program ini. Jaminan akan bermula pada tarikh pembelian alat ganti kereta dan sah selagi kereta tersebut berada di bawah hak milik pemilik kereta yang didaftarkan. 

Sekiranya pelanggan memerlukan pembaikan atau penggantian mana-mana alat ganti tulen Volvo kerana kerosakan bahan atau pembuatan, Volvo Car Malaysia akan membaik pulih dan menggantikannya secara percuma.

Bagi pelanggan yang memiliki model lama Volvo yang tidak mengunjungi wakil pengedar Volvo lebih dua tahun pula perlu membawa kereta mereka untuk menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo. Ia bagi membolehkan pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam program jaminan ini. Selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai dengan apa cara sekalipun. 

Pelanggan kemudian boleh membeli alat ganti di bawah program jaminan ini. Mereka diminta untuk menghantar kereta ke mana-mana pengedar sah Volvo untuk perkhidmatan servis pada masa hadapan bagi memastikan jaminan tersebut sah digunakan.

Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan bagaimanapun tidak termasuk alat ganti haus dan lusuh seperti yang dinyatakan dalam manual jaminan. Anda boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skop keseluruhan alat ganti yang dilindungi.

Pada Februari 2021, Volvo Car Malaysia mengumumkan lanjutan jaminan pengeluaran yang disemak semula kepada tempoh lima tahun atau perbatuan tanpa had untuk semua kereta Volvo milik persendirian yang didaftarkan mulai 1 Januari 2021.

Maklumat lanjut mengenai program jaminan ini, pelanggan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo atau mengikuti Volvo Car Malaysia di Facebook http://bit.ly/VolvoMY-FB  dan Instagram http://bit.ly/VolvoMY-IG 

Google ads
"
"
Back to top button