BuletinMotosikal

ARC VECTOR, MOTOR EV RM475K!

Agenda kenderaan elektrik nampaknya bukan setakat untuk kereta dan pengangkutan komersil tetapi juga motosikal.

Sekarang ini pun sudah ada pengeluar yang menawarkan motosikal elektrik cuma belum sampai tahap hype ala Tesla.

Ini satu lagi projek motosikal elektrik, cuma berbeza dengan pengeluar lain, Arc memulakan langkah dengan memasuki pasaran premium.

Arc Vector yang merupakan motosikal neo-café racer ini bakal dipasarkan pada harga £90,000 (RM475,015).

Projek ini yang pertama kali dihebahkan semasa EICMA di Milan pada November 2018 bukan lagi angan-angan kerana ia bakal dikeluarkan pada penghujung tahun 2020.

Rancangannya ialah mengeluarkan 399 unit dalam masa 18 bulan pertama.

Motosikal ini memang hebat dengan gabungan reka bentuk moden dan teknologi canggih.

Cuba perhatikan pada roda depan, tiada fork seperti motosikal biasa. Teknologi yang digunakan ini adalah jenis hub-centre steering. 

Kami tidak pasti bagaimana ia berfungsi kerana memerlukan lebih kajian tetapi apa yang jelas ialah ianya satu revolusi di dalam dunia motosikal.

Kedudukan angkup brek Brembo Stylema pada roda depan juga kelihatan unik.

Memandangkan motosikal ini menggunakan kuasa elektrik, bagaimana dan lokasi bateri ditempatkan juga satu cabaran.

Apa yang Arc buat bagi mengimbangi berat pek bateri dan motor elektrik ialah dengan menyatukan strukturnya sekali pada casis monocoque dan secara langsung menjadikan casis lebih tegar.

Sekali lagi sama seperti stereng, kami teruja untuk melihat isi dalam dan struktur motosikal ini bagi memahami idea yang diaplikasikan dan bagaimana ia berfungsi.

Memandangkan ini adalah projek baharu, banyak proses pembangunan dibuat pada nadi kuasa dengan pembekal sel bateri iaitu Samsung di atas mesin dyno dan juga di litar lumba. 

Arc Vector menggunakan bateri Samsung 21-700 bateri dan motor elektrik berkuasa 399 volt. 

Motosikal ini berkuasa 133 bhp dan dengan berat hanya 220 kg dan sekali lagi cuba bayangkan menunggangnya yang hadir tanpa klac atau gear

Pecutan dari 0 hingga 96.5 km hanya mengambil masa tiga saat dan kelajuan maksimum ialah 201 km/j. Kombinasi jarak tunggangan ialah 435 kilometer.

Arc ialah sejumlah kecil syarikat pengeluar sahaja yang membangunkan sendiri lengan ayun daripada gentian karbon.

Rakan kerjasama Arc ialah Riba yang juga pengeluar lengan ayun MotoGP supaya hasilnya serasi dengan keperluan motosikal unik ini.

Selain Riba, Arc banyak berkerjasama dengan syarikat ternama seperti Brembo, Ohlins, roda BST, Pirelli, Continental untuk brek anti kekunci dan Delta Motorsport untuk brek anti kekunci.

Arc Vector adalah sebuah motosikal unik dan kami tertanya apakah rasa menunggangnya dan bagaimana dengan pengeluar lain?

Ini adalah motosikal masa depan dan walaupun begitu ada dua aspek penting perlu diselesaikan iaitu karakter dan bunyi selepas tiada enjin dan ekzos.

Ciri Utama Arc Vector :

  • Motor: 399-volt elektrik
  • Kuasa: 133bhp
  • Tork: 148Nm (109 ftlb)
  • Berat: 220kg (kerb)
  • Tinggi pelana: 840mm
  • Harga: £90,000 (RM475,015) *£1 = RM5.28

Jarak (batu/km):

  • Bandar: 387/623
  • Luar bandar: 230/370
  • Kombinasi: 270/435

Google ads
Back to top button