Motosikal

HIMPUNAN MOTOSIKAL-MOTOSIKAL TERMAHAL DI DUNIA – DUA TAYAR TAK SEMESTINYA MURAH

Bila sebut pasal motosikal termahal di dunia mesti ramai yang teringat motosikal eksotik seperti Ducati Panigale V4 ataupun V4R dan bagi peminat Harley-Davidson akan menyenaraikan varian Harley yang dikira mahal. Itu belum termasuk lagi fanatik orimotor yang meramalkan harga Yamaha RX-Z akan mencecah RM100k dalam beberapa tahun akan datang.

Memang ada motosikal yang mempunyai harga yang tidak masuk akan tetapi ia masih belum setanding dengan motosikal-motosikal yang kami pilih dalam senarai ini. Ia mungkin model custom ataupun one-off yang cuma ada satu sahaja di dunia yang fana ini. Sama seperti kereta-kereta hyper dan juga model one-off lain, ia mampu membuatkan pembeli yang mampu sanggup membayar ratusan malah jutaan RM untuk mendapatkannya.

Hilderbrand and Wolf Muller – RM544,180

Ini merupakan antara motosikal terawal pernah dikeluarkan. Dihasilkan pada tahun 1894 dan ia dikenali dengan nama Motorrad (motosikal) di Jerman. Sebenarnya model ini memang sangat jarang berada di pasaran kerana nilai sejarah yang ada padanya. Kalau ada pun ia memang berada dalam koleksi muzium. Hanya satu unit pernah terjual paa tahun 2010 dengan nilai di atas dan rasanya ia tidak akan muncul lagi untuk jualan.

Icon Sheene – RM669,760

Motosikal ini merupakan hasil air tangan ahli keluarga, sahabat handai, mekanik dan jurutera yang bergabung tenaga untuk menghasilkan sebuah motosikal khusus untuk memperingati pelumba motosikal lagenda British, Barry Sheene. Hanya 52 unit akan dihasilkan dan dilengkapi dengan enjin supercharged 1400cc. Kuasa maksima yang mampu dihasilkan ialah 250 hp dan menggunakan kerangka yang dihasilkan sendiri oleh pembuat kerangka motosikal lumba Barry Sheene dengan spesifikasi perlumbaan.

MTT Turbine Superbike – RM732,550

Kalau superbike biasa belum cukup liar ini mungkin pilihan yang lebih ekstrim, MTT Turbine Streetfighter. Model terawal menggunakan enjin Rolls-Royc-Allison Model C250-C18 320 hp. Tapi kemudiannya ia digantikan dengan enjin Allison 250-C20B 420 hp yang digabungkan dengan kotak gear 2 kelajuan. Secara teorinya kelajuan maksima motosikal ini ialah 365 km/j. Kenapa? Sebab tak ramai yang sanggup mencubanya kot. Kat mana nak try? Takkan nak try kat lebuhraya Karak kan?

NCR M16 – RM962,780

NCR ia firma tuning yang kini berminat untuk mengeluarkan motosikal paling eksklusif di di dunia. M16 ataupun Milona 16 ini merupakan model keluaran terhad jentera MotoGP Ducati tetapi sah digunakan di jalan raya. Ia dihasilkan menggunakan gabungan titanium, serat karbon dan aluminium gred pesawat terbang yang mampu mengurangkan berat keseluruhan hampir 20 peratus. Harganya memang tak masuk akal tapi kalau anda ada dalam lingkungan RM1 juta bajet boleh mula tempah dah kot.

Ecosse Titanium Series FE Ti XX – RM1,255,800.00

Ia dihasilkan dalam tahun 2012 oleh Ecosse Motor Works dari selatan California. Dihasilkan menggunakan casis titanium binaan tangan dan enjin berkuasa supercharged 200 hp ia bukannya murah. Hanya 13 unit dihasilkan dan setiap satunya memerlukan 12,000 jam masa untuk disiapkan.

Dodge Tomahawk V10 – RM2,302,300.00

Ini sebenarnya model konsep Dodge yang dilengkapi dengan enjin V10 8.3 cc Dodge Viper. Ia dikatakan mampu membuat pecutan sehingga 643 km/j (400 mph) tetapi tidak pernah dibuktikan sehingga ke hari ini. Banyak faktor yang perlu dikira untuk membuat ujian dan itu tidak termasuk untuk mencari seorang penunggang ‘bodoh’ yang sanggup melakukannya.  

Vincent Black Lightning – RM3,890,373.00

UK banyak menghasilkan banyak motosikal ikonik dan Vincent Black Lightning mungkin adalah yang paling istimewa. Dihasilkan antara tahun 1948-1952 ia telah digunakan buat pertama kali oleh pelumba AS Rollie Free dalam cubaan membuat rekod kelajuan kebangsaan di Bonneville Salt Flats di Utah. Hanya 19 unit dipercayai masih wujud dan harga di atas adalah kos yang perlu dibayar oleh seorang warga Australia untuk mendapatkannya.

Captain America Panhead Chopper – RM5,653,800.00

Pada tahun 2004, motosikal terakhir daripada 4 unit yang digunakan dalam filem “Easy Rider” (1969) arahan Peter Fonda dilaporkan dijual pada azaran lelongan dengan harga melebihi RM5.5 juta! 3 unit lagi telah dicuri dan dijual sebagai alat ganti sebelum filem tersebut disiapkan.

Harley Davidson Cosmic Starship – RM12,564,000.00

Motosikal ini dihiasi lakaran seni artis seni kosmik, Jack Armstrong yang juga merupakan rakan kongsi Andy Warhol (tak kenal boleh Google sendiri okey). Pengumpul sanggup membayar jutaan RM untuk hasil lukisan Armstrong dan Harley ini pada awalnya dijual dengan harga USD1 juta. Ia kemudian dijual kembali dengan harga USD3 juta dan terbaru pemiliknya Star Global International Inc. sanggup menjualnya kepada mana-mana individu berminat dengan harga USD15 juta.

BMS Nehmesis – RM12,564,000.00

Nehmesis ini adalah buatan BMS Choppers yang berasal dari Florida yang mempunyai pelanggan terdiri daripada bintang-bintang rock dan juga rap. Mereka telah menghasilkan banyak motosikal yang gila dan mahal dan Nehmesis ini dihasilkan oleh pemiliknya, San Nehme untuk dirinya sendiri dan digunakan untuk menyertai satu pertandingan chopper custom pada tahun 2007. Memakan masa 3,000 jam untuk dihasilkan dengan kos sekitar RM1.6 ke RM2.1 juta untuk dihasilkan, ia sememangnya sebuah jentera yang gila. Kos untuk saduran emasnya saja menelan belanja RM100,712.50!

Tags
Google ads
Back to top button