Buletin

ANDREA DOVIZIOSO SERTAI DTM, (MASIH KEKAL DI MOTOGP)

Sudah namanya jiwa kelajuan, lumba kereta pun boleh. Itu lah peranan Andrea Dovizioso apabila diberi peranan untuk menjadi pelumba jemputan Audi Sport di dalam perlumbaan DTM.

Andrea Dovizioso akan menukar Ducati Desmosedici GP dan berada di dalam kokpit kereta lumba Audi RS 5 DTM.

Pemenang tempat kedua MotoGP 2017 dan 2018 itu akan menyertai dua pusingan DTM di Misano, Itali pada 8 dan 9 Jun.

Peluang ini hadir memandangkan Ducati adalah subsidiari di bawah AudiGroup yang turut memiliki Lamborghini.

Walaupun belum menjuari MotoGP, Andrea Dovizioso kekal sebagai pelumba handalan dengan memenangi 13 pusingan dan 53 penamat podium.

Selepas empat pusingan musim ini, beliau menduduki tempat ketiga MotoGP dengan tiga mata di belakang peneraju iaitu Marc Márquez.

Penyertaan Andrea Dovizioso ke dunia perlumbaan empat roda bukan kali pertama buat pelumba motosikal.

Beberapa tokoh terkenal seperti John Surtees, Mike Hailwood dan Johnny Cecotto adalah pelumba yang berjaya di dalam kedua-dua jenis perlumbaan.

Sebelum memegang stereng kereta sebenar, Andrea Dovizioso banyak berlatih menggunakan simulator.

“Saya sukakan kereta dan rasa bertuah kerana dapat berlumba menggunakan Audi RS DTM, kata Andrea Dovizioso.

“Sukar sebenarnya untuk mencari masa bagi membuat persediaan semasa musim MotoGP berlangsung. Walaupun begitu saya tidak sabar untuk berlumba di kelas tinggi seperti DTM.

“Kereta ini begitu hebat dan ianya cabaran yang berbeza jika dibandingkan dengan Desmosedici GP dan saya perlu bersedia, untuk itu saya telah berlatih menggunakan simulator sebelum mencuba kereta sebenar.

“Misano adalah litar istimewa untuk setiap pelumba Itali dan di sini tempat saya meraih kemenangan yang hebat tahun lalu dan saya begitu teruja dan bersyukur di atas peluang ini.” kata Andrea Dovizioso.

Pada Selasa lepas Andrea Dovizioso diberi peluang awal bagi merasai Audi RS 5 DTM di Pusat Kompetens Permotoran Audi.

Sebelum perlumbaan sebenar DTM, bintang MotoGP tersebut akan diberi peluang untuk menguji kereta lumba di litar Dunia Misano Marco Simoncelli pada 22/23 Mei depan.

Andrea Dovizioso sebenarnya diberi tanggung jawab di dalam pasukan WRT Team Audi Sport bagi menggantikan Pietro Fittipaldi susulan pertembungan jadual perlumbaan Formula Satu di Kanada.

Google ads
"
"
Back to top button