Artikel Pilihan

BAGAIMANA KERETA ANDA DIBAIKI DI BENGKEL B&P?

Bammmmm, berdentum bunyi kereta anda dilanggar daripada belakang oleh pemandu yang sibuk melihat skrin telefon berbanding melihat keadaan jalan raya. Selepas selesai mengambil segala maklumat kereta yang melanggar, mengambil maklumat pemandu dan membuat laporan polis maka perkara seterusnya ialah menghantar kereta ke bengkel

Atau lebih tepat dipanggil bengkel Body& Paint atau dalam Bahasa Melayu bengkel badan dan cat. Berbeza dengan bengkel biasa dimana anda menghantar kereta untuk menjalani proses servis berkala, bengkel B&P adalah tempat dimana kenderaan anda dinilai kerosakan, dan selepas diluluskan oleh panel insurans takaful maka proses pembaikan akan dilakukan

Elakkan daripada melakukan urusan “setel tepi” dengan pihak yang melanggar dan tidak membuat laporan polis kerana kadangkala kos pembaikan adalah jauh lebih mahal berbanding dengan kos yang anda anggarkan. Ingat, anda bukan juruteknik bertauliah dan kadangkala proses pembaikan sendiri biasanya tidak sebaik yang dilakukan oleh bengkel B&P

Jika kereta anda tidak boleh bergerak, biasanya ia akan ditunda dengan trak penunda ke bengkel panel B&P (samaada Nissan, Honda, Proton atau Perodua) yang masing-masing memiliki bengkel B&P tersendiri. Jika kenderaan masih boleh dipandu, bawa kereta anda ke bengkel B&P jenama kereta anda untuk pemeriksaan awal, pemeriksaan bersama panel insuran dan akhirnya proses pembaikan

Bagi kenderaan yang masih boleh dipandu, tiada masalah kerana anda hanya perlu meninggalkan kereta sekejap sahaja bagi proses pemeriksaan dan anda boleh membawa pulang kenderaan anda sementara menunggu kelulusan insuran/takaful

Jadi bagaimana proses pembaikan dilakukan? Kami terjumpa satu video ringkas bagaimana kereta yang terlibat dengan kemalangan dibaikpulih sehingga selamat untuk dipandu semula di atas jalan raya. Pihak bengkel B&P akan menilai samaada kerosakan yang berlaku adalah serius ataupun tidak dengan menilai kerosakan pada cesi dengan menggunakan mesin penjajaran cesi

Bergantung pada kerosakan, jika cesi anda terjejas kemungkinan proses pembaikan akan mengambil masa yang lama. Jangan risau, kos pembaikan akan ditanggung oleh pihak takaful. Juruteknik perlu mengukur cesi yang remuk, membaiki semula cesi tersebut mengikut ukuran daripada pengeluar dengan komponen yang baru. Kebanyakan kes sebegini akan diperiksa semula di Puspakom bagi pengesahan pembaikan.

Kerosakan yang lain seperti remuk pada bahagian komponen luar seperti fender, pintu, atau bampar adalah lebih senang dengan pembaikan dibuat dengan menggantikan komponen yang rosak, proses “sanding” dan diakhiri dengan proses mengecat.

Akhir sekali setelah semua proses selesai, wakil insuran/takaful yang dipanggil sebagai Adjuster akan menilai proses pembaikan, memastikan semua proses dibuat dengan teliti, dan semua komponen digantikan mengikut sebut harga dari bengkel B&P kepada pihak takaful.

Jadi sedikit sebanyak anda telah tahu bagaimana proses pembaikan kereta dilakukan di bengkel B&P dan kenapa proses pembaikan mengambil masa yang lama, termasuklah menunggu alat ganti original sampai.

Google ads
Back to top button