" "
Buletin

CARSOME CAPAI PENILAIAN RM5.4 BILION SELEPAS PUSINGAN PELABURAN TERKINI

Carsome Group, satu platform dalam talian membeli dan menjual kereta terpakai menyatakan bahawa ia telah menjadi unicorn teknolgi terbesar di Malaysia selepas pusingan dana sebanyak AS$170 juta (RM707 juta), membuatkan nilainya melonjak kepada AS$1.3 bilion (RM5.40 bilion). 

Antara senarai pelabur terbaharu ialah bilionair yang juga pemilik MediaTek, Catcha Group dan Penjana Kapital. Syarikat itu turut memperoleh kemudahan kredit baharu sebanyak AS$30 juta (RM124.7 juta).

Carsome memberitahu ini merupakan pusingan pelaburan ekuiti terbesar dan akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan peruncitan serta pembiayaan autonya. 

Modal baharu itu juga akan meningkatkan keupayaannya dalam pelaburan strategik, penggabungan dan pemilikan. Bulan lalu, platform berkenaan bekerjasama dengan Catcha Group untuk membeli iCar Asia pada harga AS$200 juta (RM832 juta). Syarikat gabungan itu mensasarkan untuk mencatat perolehan AS$1 bilion (RM4.15 bilion) dan transaksi tahunan 100,000 unit kenderaan. 

Carsome ditubuhkan pada tahun 2015 sebagai laman web pembandingan kenderaan. Sejak itu, ia telah berubah menjadi platform jual beli kereta terpakai dengan operasi di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura. Firma itu berjaya menarik pelaburan daripada Gobi Partners, Asia Partners, Mitsubishi UFJ Financial Group dan banyak lagi. 

Ia merancang untk disenaraikan dalam tempoh setahun lagi. 

Perkembangan tersebut meningkatkan lagi persaingan dalam pasaran kereta terpakai dalam talian di Asia Tenggara. Pesaing rapatnya, Carro yang berpangkalan di Singapura telah menjadi sebuah firma unicorn pada Jun selepas menerima pelaburan berjumlah AS$360 juta (RM1.49 bilion) yang diketuai oleh SoftBank. 

Google ads
Back to top button