Motosikal

BAJAJ HASILKAN MOTOSIKAL BERKUASA CNG

Bajaj merupakan antara pengeluar motosikal terbesar dunia dan mempunyai kerjasama erat dengan jenama terkemuka termasuk KTM dan Triumph.  

Terbaru, Bajaj bakal melancarkan produk terbaru menerusi motosikal yang dikuasakan Gas Asli Termampat (CNG). 

Perkara itu telah pun disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Bajaj, Rajiv Bajaj pada awal tahun ini dengan pelancaran dijadualkan pada bulan Jun. 

Menariknya, paten terbaru motosikal berkenaan telah pun diterbitkan dan memberikan sedikit sebanyak info penting yang boleh dijangkakan menjelang pelancaran rasmi nanti. 

Untuk rekod, Bajaj mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan enjin CNG. Ini kerana mereka menghasilkan kenderaan tiga roda yang dikuasakan CNG dengan angka pengeluaran mencecah 70,000 unit setiap bulan. 

CNG digunakan secara meluas di India di samping memakan kos yang rendah lantas memindahkan teknologi sama kepada kenderaan dua roda (motosikal) adalah relevan di negara itu. 

CNG menggunakan gas metana (CH4) sekaligus menghasilkan pencemaran yang lebih rendah berbanding gas atau diesel. Bagaimanapun, metana adalah sejenis gas maka menyimpannya ke dalam motosikal adalah cabaran besar. 

Berdasarkan paten Bajaj, mereka melakar bagaimana enjin satu silinder itu memuatkan gas asli termampat tersebut dan boleh dimuatkan dalam sebuah motosikal konvensional. 

Namun, rekaan yang lebih rumit terarah kepada bahagian kerangka yang mengguna pakai casis jenis ‘steel tube trellis’ yang dibangunkan khas bagi memuatkan enjin dan ruang penyimpan gas CNG tersebut. 

Motosikal berkuasa CNG tidak memfokuskan pada prestasi sebaliknya kenderaan seperti ini adalah murah untuk dioperasikan dan sesuai untuk pengguna di India yang mencari motosikal berkos rendah. 

Google ads
Back to top button