
TIBA MASA MODENAS PERTIMBANG PULSAR N250 UNTUK PASARAN MALAYSIA
Sedar tak sedar, MODENAS telah pun menawarkan Pulsar NS200 dan RS200 selama lapan tahun untuk pasaran Malaysia.

Pulsar NS200 dan RS200 membuat kemunculan sulung di Malaysia sekitar Mei 2017 bersama-sama dengan V15 sebelum versi ABS diperkenalkan dua tahun kemudian pada Disember 2019.
Kemudian pada tahun 2021, MODENAS memperkenalkan versi yang lebih segar dengan Pulsar NS200 dan RS200 masing-masing mendapat warna baharu.
Bagaimanapun, empat tahun berlalu tiada perkembangan terbaru melibatkan model Pulsar 200 untuk pasaran Malaysia meskipun Bajaj Auto telah pun menaik taraf kedua-dua model untuk pasaran di India dengan versi 250cc.

Bajaj memperkenalkan Pulsar NS250 secara rasmi pada Oktober 2021 yang hadir dengan naik taraf signifikan melibatkan enjin, reka bentuk dan kelengkapan. Menariknya, Bajaj turut memaklumkan bahawa model baharu ini menggantikan Pulsar 200 yang telah pun dihentikan produksi di India.

Kemudian pada April 2024, Bajaj sekali lagi memperkenalkan Pulsar N250 yang telah dinaik taraf dengan kelengkapan terkini termasuk fork USD, ABS dwi-saluran (dual-channel) menggantikan ABS single-channel sebelum ini dan panel meter LCD baharu dengan fungsi Bluetooth dan navigasi ‘turn-by-turn’.
Sistem elektronik turut dipertingkat dengan ABS dual-channel hadir dengan 3 mod; Rain, Road dan Sport secara standard.

Kedua-dua model ini dipacu enjin 249.07cc SOHC dengan suntikan bahan api dan berupaya menjana 24.1hp pada 8,750rpm dan 21.5Nm pada 6,500rpm. Walaupun kuasa dihasilkan masih sama dengan versi 200cc (24hp) namun kuasa hadir lebih awal sementara tork meningkat dari 18.7Nm sebelum ini. Transmisi pula memuatkan 5-kelajuan dengan bantuan klac ‘assist & slipper”.

Bajaj turut menaik taraf pakej brek dengan cakera lebih besar, 300mm depan dan 230mm belakang. Pencahayaan juga lebih baik dengan penggunaan lampu projektor LED baharu.
Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk:
- ABS dual-channel
- fork USD 37mm
- monoshock dengan pelarasan pra-beban (preload)
- tangki 14L
- meter digital LCD
- soket USB

Reka bentuk serta kelengkapan baharu ditawarkan pastinya akan menarik minat pengguna di Malaysia apatah lagi kedua-dua model ini pastinya hadir dengan harga yang lebih mampu milik berbanding pesaing lain dalam segmennya.

Apatah lagi sudah beberapa tahu Pulsar 200 berada dalam pasaran di Malaysia maka ini adalah masa terbaik untuk MODENAS mengemas kini portfolio dengan Pulsar 250 terbaru.
GALERI: BAJAJ PULSAR N250









