MOTOGP: AKUI LETIH, LIN JARVIS TINGGALKAN YAMAHA HUJUNG MUSIM 2024
Meskipun pasukan kilang Yamaha teruja dengan keputusan Fabio Quartararo untuk kekal bersama pasukan itu selama dua musim lagi namun mereka bakal kehilangan peneraju utama pasukan, Lin Jarvis.
Jarvis yang ketika ini menggalas tugas Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing akan mengosongkan jawatan itu pada penghujung musim ini.
Menurut laporan Autosport, Jarvis – yang memikul tanggungjawab selaku Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing sejak 1999 – akan bersara tahun ini.
Pengendali berusia 66 tahun itu memberitahu Autosport antara faktor utama beliau mengundurkan diri adalah berasa letih untuk terbang ke sana sini ketika Kejuaraan Dunia MotoGP. Musim ini sahaja, Jarvis perlu bertandang ke 21 destinasi perlumbaan termasuk GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang.
Difahamkan, Yamaha masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi Jarvis setakat ini termasuk mengumumkan pengganti yang sesuai. Bagaimanapun, Autosport mendakwa Yamaha berkenan melantik ketua pemasaran Yamaha Motor Racing, Paolo Pavessio sebagai pengganti.
Jarvis merupakan antara watak penting dalam mengembalikan Yamaha sebagai pesaing utama kejuaraan dunia pada pertengahan 2000 terutamanya dalam menyekat kemaraan Honda yang mendominasi era 500cc dan permulaan 990cc pada 2002.