Motosikal

KRISIS KEWANGAN KTM DIDAKWA CECAH RM14 BILION

Antara jenama gergasi motosikal dari Eropah, Kronreif & Trunkenpolz Mattighofen atau lebih dikenali sebagai KTM kini sedang bergelut dengan masalah kewangan yang serius. 

Ini kerana syarikat berpangkalan di Mattighofen itu kini telah pun memasuki proses pentadbiran kendiri dalam usaha melakukan penstrukturan semula bagi mengelakkan berlakunya muflis. 

Krisis kewangan KTM mengisi dada media antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan ini dengan perkembangan semasa bermula Oktober paling kritikal. Ini kerana KTM telah pun mengurangkan jumlah ahli lembaga pengarah dari enam ke dua ahli sahaja. 

Sejak itu, KTM terpaksa melepaskan ratusan pekerja semmentara kegagalan menjualan ribuan motosikal memaksa mereka menghentikan produksi motosikal baharu selama dua bulan bermula Januari 2025. 

Minggu lalu, KTM mengumumkan pihaknya memasuki pentadbiran kendiri dalam usaha mengelak dari berlakunya muflis. 

Memetik laporan GPOne, pakar insolvensi Cornelia Wesenauer dalam satu kenyataan meluahkan rasa terkejut dengan liabiliti yang mencecah EUR3 bilion (RM14bil). 

“Ini adalah prosedur insolvensi terbesar pernah dicatatkan di Austria tahun ini,” jelasnya. 

Apa yang mengejutkan, KTM merekodkan keuntungan yang signifikan hanya setahun yang lalu dengan EUR100 (RM469 juta). Meskipun nilai saham memuncak pada Februari 2022, nilai saham KTM telah merudum sebanyak 90 peratus setakat ini. 

Meskipun begitu, Pengarah Sukan KTM, Piet Beirer beri jaminan bahawa projek MotoGP akan tetap diteruskan bagi musim 2025. 

Dalam pada itu, KTM juga mengesahkan bahawa model baharu yang dilancarkan di EICMA awal November lalu antaranya 1390 Super Duke GT, 1390 Super Adventure, 990 Duke R, 990 RC R, 390 Adventure R dan 390 SMC akan mula memasuki pasaran global bermula separuh pertama 2025.

Google ads
Back to top button