Motosikal

BAJAJ PULSAR NS400Z LANCAR DI INDIA – DENGAN RIDE-BY-WIRE, TRACTION CONTROL

Bajaj Auto telah pun memperkenalkan model Pulsar paling berkuasa menerusi Pulsar NS400Z di India sekaligus bakal menyainigi KTM 390 Duke, BMW G 310R dan Triumph Speed 400. 

Dari sudut reka bentuk, Pulsar NS400Z mengikut acuan sama dengan NS200 generasi terbaru yang diperkenalkan tahun lepas. Untuk rekod, NS200 yang dijual di Malaysia oleh Modenas merupakan model lama. 

Antara ciri ditawarkan termasuk lampu LED penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL), cermin sisi yang sporty dan fork depan dengan kemasan warna emas. Ciri lain yang turut dibawa dari NS200 termasuk reka bentuk tangki yang lebih agresif serta ekzos ‘underbelly’. Reka bentuk rim juga yang sama terdapat pada NS200. 

Pulsar NS400Z serba baharu ini juga mendapat ciri premium menerusi panel meter digital sepenuhnya yang boleh dipadankan dengan telefon pintar bagi mengakses panggilan, SMS dan muzik. Tidak cukup dengan itu, juga terdapat fungsi navigasi ‘turn-by-turn’ sekaligus menjadi model Bajaj paling canggih setakat ini. 

Paling penting, terdapat petunjuk gear (gear indicator) yang merupakan kekurangan pada model Pulsar lain selain jarak kehabisan minyak dan jumlah perbatuan. 

Pulsar NS400Z ini juga merupakan motosikal Bajaj sulung dengan sistem ‘ride-by-wire, traction control dan mod menunggang yang terdiri dari Road, Sport, Rain dan Off-Road. 

Dalam pada itu, Pulsar NS400Z ini meminjam enjin satu silinder 373cc yang sama terdapat pada Dominar 400 yang berupaya menjana 40hp dan 35Nm. Bajaj mendakwa NS400Z ini juga mampu mencapai kelajuan maksima 154km/j. 

Pakej suspensi pula terdiri dari fork USD di depan dan monoshock di belakang sementara brek pula merangkumi brek axial dari ByBre yang mengapit cakera 320mm depan dan 230mm belakang. 

GALERI: BAJAJ PULSAR NS400Z

Google ads
Back to top button