
BAJAJ SELAMATKAN KTM DENGAN DANA RM3.84 BILION , KINI JADI PEMILIK BAHARU
Umum sedia maklum bahawa KTM sedang berdepan krisis kewangan yang serius sehinggakan jenama pengeluar motosikal dari Austria berdepan muflis.
Baru-baru ini KTM perlu mencari dana sehingga EUR600 juta (RM2.88bil) sebelum 25 Mei 2025 bagi mengelakkan syarikat itu jatuh bankrap.

Namun, perkembangan terbaru mengesahkan KTM akan terus beroperasi setelah Bajaj Auto menyuntik bantuan kewangan sebanyak EUR600 juta baru-baru ini. Dana tersebut terbahagi kepada EUR450 juta (RM2.16bil) kepada KTM dan EUR150 juta (RM720j) dalam bentuk bon yang dikeluarkan Pierer Bajaj AG.
Untuk rekod, Bajaj Auto sebelum ini telah pun menyuntik dana sebanyak EUR200 juta bertujuan membantu KTM membayar kepada pemiutang. Dalam pada itu, suntikan dana besar-besaran itu turut menyaksikan Bajaj kini pemegang saham majoriti KTM.

Firma Bajaj yang bertempat di Belanda, Bajaj Auto International Holdings akan peroleh pegangan saham dalam Pierer Bajaj yang memegang 75% saham majoriti Pierer Mobility AG yang merupakan syarikat induk kepada KTM.
Pada masa sama, suntikan dana oleh Bajaj itu turut membolehkan KTM untuk memenuhi keperluan pelan penstrukturan yang telah ditetapkan pemiutang pada Februari lalu.
Namun, berita terbesar terarah kepada Bajaj yang kini menerajui antara jenama terbesar dari Eropah itu di pasaran global. Perkembangan terbaru ini juga menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik bersama, Stefan Pierer akan mengundur diri setelah sekian lama.

Difahamkan, Bajaj akan memperkenalkan pelan khas bagi memulihkan semula jenama KTM di samping memastikan kedudukan kewangan terus stabil untuk tempoh akan datang.
Untuk rekod, Bajaj dan KTM mempunyai jalinan kerjasama yang panjang dengan jenama dari India itu bertanggungjawab menghasilkan motosikal KTM bersesaran 390cc ke bawah termasuk 390 Duke, 390 Adventure, 250 Duke, 250 Adventure, 200 Duke dan 125 Duke.
Sementara itu, jenama motosikal dari China, CFMOTO, bertanggungjawab menghasilkan model 790 Duke dan 790 Adventure untuk pasaran global.