
BAJET RM 50K, LEBIH BAIK BELI KERETA MEWAH TERPAKAI DARIPADA BELI KERETA BARU?
Kalau anda ada masa terluang seketika dan berniat untuk melepaskan penat tekanan bekerja, apa kata anda buka laman sesawang menjual kereta terpakai seperti Mudah dan cari kereta terpakai dalam lingkungan harga RM 40,000 ke RM 60,000. Anda akan terkejut dengan pelbagai pilihan kereta dari jenama mewah yang boleh dibeli dalam julat harga ini
Ok cuba anda cari kereta baru dalam julat harga mampu milik ini bagi rakyat golongan yang biasa dengan rumah atap rumbia (B40). Pilihan yang ada hanyalah kereta jenama tempatan samaada Proton atau Perodua sahaja. Model yang ditawarkan pun tidak mengujakan anda seperti anda melihat teh ais di waktu tengahari ketika bulan puasa
Lantas hati kecil anda berbisik, ” kalau RM 59,000 boleh beli jenama Jerman ok la dari jenama tempatan. Lagi pun bulanan tak jauh beza, ala tambah RM 100 saja dari Myvi atau Persona. Baru Milah anak ketua kampung menyesal tolak cinta aku dulu”.
Dengan memilih kereta jenama Jerman atau Peranchis dalam harga yang sama, pilihan yang ada nampak lebih bergaya, ada kelas tersendiri, nampak mahal dan tambahan pula bayaran bulanan kereta ini tak jauh beza daripada bayaran bulanan kereta buatan Proton dan Perodua. Anda akan rasa pembelian anda nampak bijak serta berbaloi.
Tapi sebelum anda menandatangani kontrak jual beli kereta mewah tersebut, kami akan senaraikan beberapa faktor yang wajib difikirkan sebelum meneruskan pembelian kereta tersebut. Antaranya ialah

1. Kos servis – walaupun kereta mewah tersebut telah jatuh harga, tapi kos penyelenggaraan kereta adalah sama seperti dulu dan kekal mahal macam 10 tahun lepas. Mampu membayar ansuran bulanan kepada bank bukan bermaksud anda mampu membayar kos penyelenggaraan
Apatah lagi jika kereta tersebut datang dengan enjin sebesar 2500cc, siap dengan turbo, transmisi 8 kelajuan serta hanya boleh menggunakan alat ganti tulen yang mahal sahaja. Melainkan anda sudah biasa mencari alat ganti dan pomen berpengalaman luas untuk kereta Conti, maka poin pertama ini sudah cukup untuk mematikan niat anda
2. Kos alat ganti – anda juga digalakkan membuat sedikit penyelidikan bagi mengetahui berapakah kos penggantian tayar, pelapik brek, tali sawat atau apa-apa sahaja alat ganti yang diperlukan bagi memastikan kereta ini selamat dipandu di atas jalan raya. Sesetengah kereta ini ada masalah yang popular dan perlu diganti dengan kerap
Ini kerana unit terpakai ini biasanya akan merekodkan jarak perjalanan melebihi 100,000km sebelum dijual kepada penjual kereta terpakai. Jika alat ganti yang dinyatakan sudah melebihi 50% gaji anda, adakah anda mahu buat pinjaman peribadi dengan bank bagi proses menggantikan komponen kereta?
3. Kos bahan api – satu lagi aspek yang anda kena nilai ialah purata penggunaan bahan api bagi model ini. Sesetengah model yang lama tidak mencatatkan purata penggunaan bahan api yang bagus ketika dilancarkan 6 atau 7 tahun yang lepas berbanding dengan model terkini yang lebih cekap tenaga
Anda juga perlu ambil tahu apakah minimum bahan api yang boleh digunakan samaada menggunakan RON 95 boleh menjejaskan prestasi enjin atau lebih baik menggunakan RON 97. Jika anda mampu membayar RM 4 seliter petrol, maka abaikan poin ini.

4. Aspek keselamatan – setiap tahun organisasi yang menetapkan penarafan keselamatan kereta seperti IIHS, NHTSA, dan NCAP sentiasa menaikkan ciri-ciri keselamatan kereta baru. Jadi kereta mewah terpakai yang anda minat walaupun memiliki penarafan 5 bintang beberapa tahun lepas tidak akan sama dengan penarafan keselamatan 5 bintang kereta baru tahun 2022
5. Ini kereta pertama atau kedua? – kalau anda beli kereta ini sebagai kereta utama untuk membantu pergerakan dan aktiviti harian anda, maka anda harus berhati hati kerana berdasarkan pengalaman berkawan dengan pomen kereta Conti, proses pembaikan dan menunggu alat ganti adalah lebih lama berbanding kereta baru jenama tempatan
Jika kereta anda tersadai di pusat servis, mungkin anda patah kaki. Melainkan anda ada kereta lain atau membeli kereta ini kerana minat dan dijadikan kereta kedua yang hanya digunakan sesekali di hujung minggu maka isu ini adalah isu kecil sahaja
Tapi semuanya bergantung pada minat, bajet, kesanggupan anda untuk membela kereta ini serta kecekapan anda mencari alat ganti dan bengkel yang berpengalaman luas. Tidak dinafikan kereta Conti ini lebih sedap dipandu jika dibandingkan dengan kereta tempatan dalam julat harga yang sama dan menawarkan kepuasan memandu yang jauh lebih baik
Tapi seperti biasa, duit anda, pilihan anda. Tiada siapa yang boleh halang atau larang kalau anda sudah minat.



