
BANYAK SUPERCAR MAHAL DITEMUKAN TERBIAR DALAM BANGSAL, BIAR BETUL?
Kecoh seketika di media sosial beberapa hari lepas apabila beberapa page FB dan Instagram memuatnaik beberapa keping gambar yang menunjukkan supercar mahal terbiar begitu sahaja di dalam bangsal.
Anda boleh lihat beberapa model termasuklah Bugatti, Lamborghini, McLaren, Pagani dan Rolls-Royce yang terbiar, kotor berhabuk, dan turut digunakan untuk menyimpan barangan seperti tangga.
Keadaan tersebut memberikan petanda kereta-kereta mahal tersebut telah terbiar untuk tempoh masa yang lama, malah terdapat sebuah Lamborghini Centenario diparkir bersebelahan dengan longgokan sampah.

Namun, usah tertipu kerana kesemua gambar tersebut merupakan imej janaan komputer yang dihasilkan oleh artis Itali muda menerusi akaun Instagram TheDizzyViper.
Jika anda rajin, belek sahaja akaun Instagram TheDizzyViper, di mana beliau memang tidak asing dalam menghasilkan gambaran imej sebegitu rupa.
Mungkin disebabkan hasil kerjanya yang terlalu sempurna boleh membuatkan sebilangan kita tertipu dengan mudah. – Instagram TheDizzyViper