Buletin

MASALAH TPMS, VW PANGGIL LEBIH 220 RIBU KENDERAAN DI US

Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) bukan lagi satu ciri yang dikhususkan untuk kereta-kereta mewah, malah kebanyakan kereta sudah pun mula mengguna pakai ciri keselamatan ini.

Di Amerika Syarikat, agensi National Highway Traffic & Safety Administration (NHTSA) mengumumkan kempen recall melibatkan 224,704 unit kenderaan disebabkan isu kegagalan penderia sistem TPMS itu mengesan kekurangan tekanan pada tayar.

Menurut notifikasi yang dihantar, sistem TPMS dalam kenderaan yang dipanggil semula itu mungkin tidak dapat mengesan kehilangan tekanan udara untuk tempoh yang mencukupi apabila proses kebocoran berlaku pada keempat-empat tayar secara serentak.

Keterangan situasi yang agak aneh sekali kedengarannya.

Antara kereta yang terlibat termasuklah VW Tiguan LWB 2019, Golf Sportswagen 2019, Golf Alltrack 2019, Golf R 2019, Audi Q3 2019, Audi A3 Cabriolet 2019, Jetta 2019-2020, Jetta GLI 2019-2020, Golf GTI 2019-2020, Atlas 2019-2020, Golf A7 2019-2020, Atlas Cross Sport 2020-2021 dan Atlas FL 2020-2021.

Difahamkan, kesemua kenderaan yang terjejas mempunyai kombinasi perisian/perkakasan dipasang yang turut merangkumi unit kawalan brek spesifik.

Menurut VW, penyelesaian kepada masalah tersebut adalah semudah mengemaskini perisian TPMS yang akan dibuat tanpa sebarang caj. – Motor1

Google ads
Back to top button