Buletin

BATERI SOLID STATE BOLEH GANDAKAN JARAK PERJALANAN KERETA ELEKTRIK

BMW dan juga Ford dilaporkan membuat pelaburan besar pada Solid Power Inc. sebuah syarikat yang menghasilkan bateri solid state. Berbeza dengan bateri yang digunakan sekarang, bateri solid state lebih ringan, lebih padat dengan kuasa dan boleh memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh.

Secara asasnya, bateri solid state menggunakan elektrod dan elektrolit dalam bentuk pepejal berbanding dengan gel elektrolit atau cecair elektrolit yang dijuampai pada bateri ion lithium. Bateri pepejal ini bukanlah teknologi baru tapi telah ditemui oleh ahli elektrokimia iaitu Michael Faraday pada wal 1800 namun penggunaannya tidak pernah dikomersialkan

Sehinggalah pada awal 1990an bateri ini dihasilkan dan diuji secara serius oleh Oak Ridge National Laboratory, barulah bateri ini mulai dikenali oleh pihak industri. Selain BMW dan Ford, Toyota juga dikatakan menjalankan kajian berkenaan bateri ini bersama rakan teknikal Panasonic pada tahun 2012. Teknologi bateri solid state juga menarik perhatian Dyson serta NGK.

Setakat ini Solid Power yang ditubuhkan pada tahun 2012 dan berpengkalan di Colorado adalah peneraju utama dalam teknologi bateri solid state. “Bateri solid state tidak menggunakan elektrolit mudah terbakar dan menggantikannya dengan satu lapisan pepejal. Ia bertindak sebagai penghalang antara katod dan anod serta pada masa yang sama sebagai elektrolit” ujar Will McKenna Ketua Pegawai Pemasaran Solid Power.

Antara kelebihan lain bateri solid state ialah ketumpatan tenaga yang tinggi (Wh/kg), lebih kuasa (Wh/L), kandungan ion yang lebih banyak pada anod, kurang risiko terbakar, tidak mudah terganggu pada suhu rendah atau tinggi serta lebih murah untuk dihasilkan.

Bateri solid state akan menggunakan logam lithium bagi menggantikan grafit. Untuk bahagian anod, ia akan menggunakan logam nikel, cobalt, lithium dan manganese. Versi yang sedang dalam pembangunan oleh Solid Power pada masa depan akan menyingkirkan terus cobalt, nickel dan manganese. Ia akan menurunkan kos dari USD 35/kWh kepada USD 3/kWh.

Sebaliknya Solid Power merancang untuk menggantikan logam tersebut dengan sulfida yang lebih murah. Elemen Lithium pula akan diambil dari pusat kitar semula bateri bagi mengurangkan lagi kos pembangunan berbanding dengan proses perlombongan baru

Berdasarkan ujian makmal yang dibuat oleh Solid Power, bateri mereka boleh memanjangkan jarak perjalanan sehingga 80% dan memendekkan masa pengecasan dari 10% kepada 90% dalam masa kurang 20 minit. Buat masa ini fasiliti di Solid Power hanya mampu mengeluarkan 100 sel dalam masa seminggu. Pelaburan yang dibuat oleh Ford dan BMW akan digunakan untuk menambah fasiliti pengeluaran bateri Solid State

Google ads
Back to top button