Buletin

BATU PAHAT CATAT REKOD KEMALANGAN TERTINGGI DI MALAYSIA

Daerah Batu Pahat di Johor merupakan salah satu daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan yang paling tinggi dari tahun 2015-2017, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Oleh itu, katanya, kementerian akan berbincang dengan Majlis Daerah Batu Pahat, Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kerja Raya untuk mengenal pasti faktor penyumbang, terutama sepanjang laluan Ayer Hitam-Batu Pahat melalui Kluang.

“Kami menyedari daerah dengan kadar kemalangan tertinggi dan Batu Pahat menjadi salah satu daripada lima teratas setiap tahun. Daerah ini mempunyai penduduk yang kecil tetapi kadar kemalangan di sini agak tinggi.

“Walaupun Kuala Lumpur (dan) bandar-bandar lain mempunyai penduduk yang lebih besar dan lebih banyak kenderaan di jalan raya kadar kemalangan tidak setinggi beberapa bandar kecil,” katanya.

Loke berkata, untuk membendung kemalangan jalan raya, kaedah penguatkuasaan undang-undang konvensional termasuk mengeluarkan saman kepada pemandu dan penunggang motosikal tidak lago relevan.

“Sudah tiba masanya untuk kita menggunakan teknologi dalam menguatkuasakan undang-undang dan kita sedang bekerja dengan pengeluar kereta dan motosikal untuk mencari cara untuk memasang ciri keselamatan tertentu,” katanya.

Apabila ditanya oleh pemberita sama ada kerajaan bercadang untuk menaikkan usia minimum untuk mendapatkan lesen motosikal kerana kemalangan motosikal menyumbang 65 peratus kemalangan maut, Loke berkata setakat ini tiada apa yang diputuskan mengenai perkara itu.

“Kita bimbang jika kita menaikkan usia minimum, ramai yang akan menunggang tanpa lesen, walaupun 16 adalah umur minimum, di kampung, estet dan pinggir bandar, antara 12 dan 15 tahun adalah menunggang motosikal (tanpa lesen).

“Saya tidak fikir kenaikan had umur akan menyelesaikan masalah. Kami memerlukan kerjasama daripada semua orang dan ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendapatkan mesej yang tepat dan mendidik anak-anak mereka, “katanya.

Di Selangor, daerah yang mempunyai kadar kemalangan maut tertinggi bagi tempoh 2015-2017 adalah daerah Kajang yang mencatat 347, diikuti oleh Selatan Klang (270) dan Kuala Selangor (260) manakala di Johor, jumlah kemalangan maut tertinggi Batu Pahat (554) diikuti Johor Bahru Selatan (315) dan Kluang (296).

Di Perak, tiga daerah yang mencatatkan kadar kemalangan maut tertinggi ialah Ipoh (402), diikuti oleh Manjong (261) dan Hilir Perak (232).

Mengenai kejadian kemalangan yang tinggi di Batu Pahat, beliau berkata antara faktor yang menyumbang adalah kecuaian manusia dan kecenderungan untuk memecut di laluan lurus.

KREDIT: BERNAMA

Google ads
Back to top button