Artikel Pilihan

BERAPA BANYAK ENJIN MYVI DIPERLUKAN UNTUK BOEING 777 TERBANG?

Satu ketika dulu, kapal terbang menggunakan enjin piston yang disusun dalam bentuk oval bagi menggerakkan kipas propeller dan terbang di udara. Namun pengenalan enjin jet telah menyaksikan kebanyakan pesawat penumpang dan pesawat tentera udara pada hari ini menggunakan enjin jet

Tapi berapakah kuasa yang dihasilkan oleh enjin jet sebenarnya jika kita ingin membandingkan kuasanya dalam bentuk kuasa kuda? Untuk enjin biasa yang digunakan oleh kereta, ia menghasilkan kuasa daripada letupan terkawal bahan api dan udara di dalam kebuk pembakaran, menggerakkan piston dan seterusnya menghasilkan pergerakan putaran pada aci engkol (cranckshaft).

Aci engkol ini akan disambungkan pada unit transmisi bagi menggandakan tork atau menyelaraskan laju putaran enjin mengikut keadaan pemanduan. Cara mudah untuk mengukur kekuatan enjin adalah dalam kuasa kuda. 1 kuasa kuda bersamaan 746 watts.

Bagi enjin kapal terbang, ia turut menggunakan prinsip yang hampir sama iaitu mampatan udara dan bahan api, pembakaran dan pengembangan gas yang terbakar. Gas yang terbakar tadi menghasilkan tujahan atau thrust ke arah belakang.

Kipas besar atau propeller akan menyedut udara memasuki kompressor tekanan rendah, dan kompressor tekanan tinggi bagi meningkatkan tekanan dan suhu udara. Apabila tekanan dan suhu mencapai keadaan optimum, bahan api akan disembur dalam kebuk pembakaran untuk dibakar dengan udara tekanan tinggi tadi

Gas panas yang terhasil akibat pembakaran tadi akan mengembang, menjana tenaga kinetik pada bilah turbin dan keluar ke arah ekzos pada halaju tinggi. Keadaan ini menghasilkan tujahan atau thrust yang akan menolak pesawat ke arah hadapan.

Tujahan tadi akan diukur dalam pound of forcr (lbf), kilogram (kg) atau Newton. 1 Newton bersamaan dengan 0.102 kilogram atau 0.225 pound of force. Bagi kapal terbang Boeing 777 yang menggunakan enjin GE90, kuasa yang dihasilkan ketika berlepas adalah bersamaan dengan 514,000 Newtons.

Dengan mengambil kira halaju pesawat, berat dan juga rintangan udara, kuasa pesawat dalam unit Watts sebenarnya boleh dianggarkan. Secara purata sebuah pesawat Boeing 777 akan menjana sekitar 46 Megawatts kuasa ketika terbang di udara

1 Megawatt adalah bersamaan dengan 1341 mechanical horsepower. Ini bermakna jika 2 enjin turbojet GE90 dalam contoh di atas digunakan, ia menghasilkan sekitar 61,700 kuasa kuda. Namun kuasa ini berubah bergantung kepada jenama pesawat dan bilangan enjin yang digunakan

Sebagai contoh sebuah pesawat Airbus A380 dengan 4 unit enjin menghasilkan sekitar 224 Megawatts kuasa ketika berlepas, iaitu hampir menyamai 300,000 kuasa kuda. Ini bermakna setiap enjin menghasilkan sekitar 75,000 kuasa kuda.

Jadi sekiranya anda bercadang untuk menggantikan enjin GE90 ini dengan enjin Myvi 1.5, secara teori maka ia memerlukan sekitar 605 unit enjin Myvi bagi membolehkan Boeing 777 ini terbang. Jap macam mana nak susun enjin ni kat sayap?

Google ads
Back to top button