Buletin

WRC 2024 - THIERRY NEUVILLE MENANG DENGAN BERGAYA DI MONTE-CARLO

Pemandu pasukan Hyundai Motorsport, Thierry Neuville berjaya mengungguli saingan pembuka tirai kempen FIA World Rally Championship (WRC) musim 2024 dengan bergaya apabila berjaya menang di Rallye Monte-Carlo.

Pemandu Belgium tersebut merakamkan kemenangan ke 20 dalam perlumbaan WRC dengan cukup bergaya apabila berjaya mengungguli saingan sedari awal perlumbaan apabila berjaya mendahului saingan pada hari Sabtu bagi mengutip 18 mata awal. Ternyata, kehandalan Thierry Neuville tidak boleh dinafikan lagi apabila beliau berjaya mengenepikan Sebastian Ogier sejak dari awal perlumbaan di posisi kedua pada hari Sabtu.

Pun begitu, Thierry Neuville sebetulnya berjaya bangkit daripada posisi ketiga di awal pembukaan perlumbaan pada malam Jumaat sementelah ketinggalan di belakang Sebastian Ogier dan juga pendahulu Elfyn Evans pada permukaan yang turut diseliputi ais.

Sementara itu, Sebastian Ogier masih sempat mencatatkan sesuatu apabila berjaya mencatatkan kemenangan Peringkat (SS) yang ke 700 dalam kerjaya perlumbaan beliau sewaktu di Les Nonières – Chichilianne bagi mengatasi rekod yang dicatat oleh Juha Kankkunen dengan 699 kemenangan Peringkat. Rekod kemenangan Peringkat masih lagi dipegang oleh Sebastian Loeb dengan 939 kemenangan.

Mungkin kecewa kerana gagal mencatatkan kemenangan ke 10 di Monte Carlo, namun Sebastian Ogier tetap harus berbangga untuk berada di podium kedua keseluruhan walau pun telah mencuba untuk mengejar Thierry Neuville namun ternyata pemandu Belgium itu cukup laju di hadapan.

Sementara itu, Elfyn Evans sempat mengalami masalah pada sistem boost hibird GR Yaris Rally1 beliau sewaktu perlumbaan SS10. Walau pun masalah tersebut telah diselesaikan krew pasukan, namun Elfyn Evans tiada jawapan di atas kelajuan mendadak yang diperolehi oleh rakan dan pesaingnya. Akhirnya pemandu Britain ini ketinggalan 29.1 saat di belakang Sebastian Ogier.

Ott Tanak yang kembali semula bersama pasukan Hyundai Motorsport pula berada di tempat keempat keseluruhan. Ott Tanak sempat muncul sebagai pemenang Peringkat pada pagi Sabtu bersama jentera Hyundai i20 N Rally1 yang cukup laju namun masalah misteri yang melanda enjin jentera menghalang beliau untuk menang di Monte Carlo.

Pemandu pasukan M-Sport Ford, Adrien Fourmaux yang memandu Ford Puma Rally1 berjaya menduduki tempat kelima keseluruhan di hadapan Andreas Mikkelsen dan juga Takamoto Katsuta. Keputusan ini menyamai rekod terbaik beliau dalam kelas WRC sebelum ini dan ianya jelas memberikan harapan bahawa pemandu muda Perancis ini masih boleh diharap oleh pasukannya.

Semua pasukan akan terus tertumpu pada perlumbaan kedua di Sweden dengan permukaan bersalji sepenuhnya pada pertengahan Februari nanti. Satu – satunya perlumbaaan dengan permukaan bersalji sepenuhnya dalam kalendar WRC.

BACA : WRC 2023 – SEBASTIAN OGIER MENANG BUAT KALI KESEMBILAN DI MONTE CARLO

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER JUARA DI MONTE CARLO

Google ads

B K

Back to top button