Artikel Pilihan

BMW M5 F90. SEDAN YANG BAPAK POWER & MENAKUTKAN DARI JERMAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita ingin mengupas tentang sebuah sedan perang dari Jerman. Sedan yang dimaksudkan adalah BMW M5 generasi ke-6 yang menggunakan kod cesi F90.

BMW sejak dari generasi pertama lagi memang dikenali sebagai sedan berprestasi tinggi paling pantas di dunia. Oleh yang demikian, ia memegang tanggungjawab berat bagi memastikan legasinya berterusan dari generasi ke generasi.

Jentera BMW M5 generasi ke-6 ini tidak mengecewakan Tuan-Tuan. Mari kita lihat spesifikasi teknikal jentera ini terlebih dahulu.

Kita mulakan dengan jantung jentera ini terlebih dahulu iaitu enjin. Jentera ini menerima enjin berkod S63B44T4 8 Silinder V8 bersesaran 4,395cc(4.4L). Enjin ini sebenarnya diambil daripada model M5 sebelumnya iaitu BMW M5 F10. Namun ia sudah melalui proses rombakan dan naiktaraf sehingga mampu menghamburkan kuasa sebanyak 591hp dan daya kilas sehingga 750Nm. Rombakan yang dilakukan meliputi penggunaan komponen dalaman enjin yang lebih baik sekaligus menjadikan enjin ini lebih tahan dari sebelumnya.

Enjin ini juga menerima bantuan 2 unit pendesak turbo “Twin Scroll” dimana “Boost” maksimum ditetapkan sekitar 1.4 bar. Sistem bahanapi menggunakan sistem “Direct Injection” dimana bahanapi di dalam sistem menerima tekanan sehingga 350 bar. Tinggi ni Tuan-Tuan.

Kuasa yang hebat ini kemudian dihantar ke kotak gear 8-Kelajuan Automatik Konvensional dari ZF berkod GA8HP75Z. Kotak gear ini mampu menampung daya kilas sehingga 750Nm tanpa sebarang masalah. Kotak gear ini menerima talaan khusus dari pihak BMW dengan fungsi “Drivelogic”. Fungsi “Drivelogic” ini ialah ia membenarkan pemandu mengawal karakter penukaran gear mengikut cara pemanduan.

Sekiranya jentera dipandu secara agresif, kotak gear akan menahan penukaran gear pada rpm tinggi. Sekiranya dipandu secara santai, penukaran gear akan berlaku dengan pantas sekaligus dapat mengoptimumkan penggunaan bahanapi.

Penggunaan kotak gear automatik konvensional ini merupakan perubahan besar dimana model sebelumnya menggunakan kotak gear dwi-klac. Menurut BMW, korak gear 8-Kelajuan ZF ini memberikan prestasi serta respon yang lebih baik berbanding kotak gear dwi-klac. Binaannya juga tidak kompleks dan turut digunakan oleh jentera berprestasi tinggi dari jenama lain. Selain itu, ia lebih mudah dijaga dan kos penjagaannya juga rendah.

Kuasa kemudian dihantar ke sistem pacuan semua roda (AWD) M xDrive dari BMW. Buat pertama kalinya dalam sejarah BMW menggunakan sistem pacuan semua roda pada BMW M5. Sistem ini merangkumi sistem “BMW xDrive Intelligent All Wheel Drive” dan dipadankan beraama “Active M Differential”. Komponen-komponen berkait di dalam sistem ini dibuat menggunakan material yang tegar dan jitu bagi membolehkan daya kilas yang kuat melaluinya tanpa masalah.

Sistem ini juga membenarkan mod 2WD diaktifkan oleh pemandu sendiri. Walaupun pacuan semua roda, namun kuasa tetap bias ke bahagian belakang. Kuasa hanya pergi ke tayar hadapan mengikut situasi tertentu bertujuan untuk mendapat cengkaman yang optimum. Sistem ini juga membantu jentera untuk memecut dari 0-100km/h secepat 3.4 saat dan meluncur dari 0-200km/h dalam hanya 11.1 saat. Semua ini dapat dicapai dengan cengkaman yang padu.

Bagaimana pula dengan pengendalian jentera ini ?

Jentera ini dilengkapi dengan sistem gantungan jenis “Double Wishbone” pada bahagian hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Sistem gantungan ini menerima talaan khusus dari pihak BMW supaya memenuhi kriteria “Kinematic” & “Elastokinematic” yang ditetapkan oleh M-Specific. Begitu juga material sistem gantungan dimana komponen-komponen dibuat dengan menggunakan material yang tegar bagi memastikan ia dapat menampung berat serta kuasa yang hebat dari jentera ini.

Pihak BMW melakukan kerja keras di dalam kerja menala sistem gantungan jentera ini bagi membolehkan jentera bergerak lincah dan stabil tanpa mengorbankan aspek keselesaan. Dimensi jentera ini adalah besar dan berat. Oleh itu, kerja yang perlu dilakukan bagi membolehkannya bergerak lincah bukanlah mudah. Pihak BMW tanpa segan silu membuat kenyataan dimana jentera ini merupakan jentera BMW M5 paling selesa yang pernah dihasilkan.

Set penyerap hentak jentera ini menerima sistem “Variable Damper Control”(VDC) dimana sistem ini membolehkan pemandu menukar karakter penyerap hentak mengikut situasi yang diinginkan. Sistem stering juga dilengkapi dengan sistem “M Servotronic” dimana sistem ini membenarkan pemandu mengubah tetapan stering mengikut situasi yang diinginkan. Kombinasi sistem-sistem ini membolehkan jentera yang berkuasa tinggi ini dapat dijinakkan dan membenarkan jentera dikawal dengan mudah.

Jentera ini mempunyai berat sekitar 1,970kg. Hampir 2 tan. Ia mempunyai “Power to Weight Ratio” sekitar 3.3kg/hp. Angka ini cukup menakjubkan. Tidak cukup dengan itu, nisbah berat jentera ini ialah 54% pada bahagian hadapan dan 46% pada bahagian belakang. Ketika memecut, nisbah berat jentera ini berada di dalam keadaan yang seimbang.

Penggunaan bahanapi pula adalah sekitar 10.5L/100km. Tidaklah teruk sangat sebenarnya. Kapasiti tangki bahanapi adalah 68 Liter. Mengikut nilai semasa RON97 sekarang ialah RM3.15, setangki penuh bahanapi jentera ini menelan belanja sekitar RM214.20. Setangki penuh bahanapi mampu menggerakkan jentera ini sejauh kira-kira 647km. Jauh tu Tuan-Tuan.

Bagaimana pula dengan sistem brek, dan tayar ?

Jentera ini dilengkapi dengan angkup brek 6 piston bersama rotor bersaiz 394mm pada bahagian hadapan dan angkup brek 1 piston bersama rotor bersaiz 380mm pada bahagian belakang. Sistem brek belakang berintegrasi dengan sistem “Electronic Parking Brake”(EPB). Bakal pemilik boleh memilih sekiranya mahu menaik taraf sistem brek kepada jenis “Carbon Ceramic”. Sistem brek “Carbon Ceramic” mampu memgurangkan berat keseluruhan jentera sekitar 22kg. Banyak tu Tuan-Tuan. Harga yang ditawarkan bagi pilihan naiktaraf ini adalah sebanyak RM95,000.

Set brek ini dihiasi pula dengan set rim bersaiz 20 inci bersama tayar bersaiz 275/35R20 pada bahagian hadapan dan 285/35R20 pada bahagian belakang. Saiz tak sama, jika pomen kedai tayar suruh “Rotate”, cari kedai lain.

Sekarang kita pergi pula kepada ciri-ciri keselamatan jentera ini. Ciri-ciri bantuan keselamatan pada jentera ini mendapat teknologi termaju masa kini. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut :-

  • Automatic Stability Control (ASM)
  • M Dynamic Mode (MDM)
  • Dynamic Brake Control (DBC)
  • Cornering Brake Control (CBC)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Lane Change Warning (LCW)
  • Approach Control Warning (ACW)
  • Person Warning
  • Crossing Traffic Warning (Rear)
  • Collision Warning (Rear)
  • 7 Airbag
  • Side Body Protection
  • Signal

Dengan ciri-ciri diatas, boleh dikatakan jentera ini sangat selamat untuk dipandu. Ia dapat mengelakkan sebarang kemungkinan kemalangan dan juga mengelakkan kecederaan serius sekiranya berlakunya kemalangan. Kesemua ciri keselamatan ini ialah bantuan kepada pemandu. Pucuk pangkalnya ialah bagaimana pemandu itu mengawal jentera ini.

Jentera ini juga didatangkan dengan signal yang wajib digunakan untuk menukar lorong. Wajib ye Tuan-Tuan, bukan sunat mahupun harus. Walaupun kebanyakan pemilik BMW dikecam kerana susah menggunakan signal ketika menukar lorong, namun hakikat sebenar ialah pihak BMW tidak pernah lupa dan alpa tentang kepentingan signal.

Sekarang kita pergi pula ke aspek ergonomik jentera ini. Di dalam kabin, jentera ini dilengkapi dengan sistem “BMW Head Up Display with M-Specific View”. Sistem ini akan memancarkan hologram ke cermin bahagian pemandu untuk menunjukkan halaju, rpm dan pelbagai paparan lagi. Kemasan dalaman diliputi dengan kemasan kulit bagi menyerlahkan ciri mewah jentera ini. Sistem pendingin hawa menerima sistem “4 Zone Climate Control”. Biasa 2 je, kalini pihak BMW bagi 4. Tujuannya ialah setiap pemandu dan penumpang boleh melaras suhu mengikut kehendak mereka.

Aspek hiburan juga turut dititikberatkan pada jentera ini. Sistem hiburan jentera ini menerima skrin bersaiz 10.25 inci dengan paparan HD serta fungsi skrin sesentuh. Kemudian ia dipadankan dengan sistem audio “Harman Kardon 600W Surround Sound System” dengan 16 unit “Speaker”.

Kombinasi ini sungguh padu dimana ia memberikan pengalaman muzik yang sangat hebat. Terasa lebih syahdu apabila lagu “Balik Kampung” dari Allahyarham Sudirman dimainkan di musim perayaan.

BMW M5 CS ? Apa itu ?

Akronim CS merujuk kepada “Competition Sport”. BMW M5 CS merupakan model M5 yang paling berkuasa sekali. Jentera ini menerima proses naiktaraf dimana kuasanya ditingkatkan kepada 626hp. Jentera ini juga menerima pengurangan berat sebanyak 116kg berbanding M5 biasa. Pengurangan berat ini dilakukan dengan menggunakan banyak komponen yang diperbuat daripada “Carbon Fibre”. Kelajuan tertinggi jentera ini dihadkan pada 305km/h sahaja. Ni pun laju dah Tuan-Tuan.

Kesimpulannya, jentera ini merupakan jentera yang sangat berbaloi. Sebuah sedan berprestasi tinggi bersama pakej eksklusif. Dengan harga bermula dari RM942,759.86 bagi unit baru, pastinya ia bukan untuk marhaen. Namun sekiranya anda seorang yang berkemampuan, jentera ini adalah “Sport Sedan” terbaik untuk dimiliki.

Google ads
Back to top button