Artikel Pilihan

BOLEHKAH KITA PAKAI KERETA ELEKTRIK DENGAN HANYA MENGGUNAKAN PLUG 3 PIN BIASA?

Jom kita terus ke jawapan pada soalan di atas, boleh dan tiada masalah dengan syarat anda kena cukup bersabar. Ini kerana dengan hanya menggunakan plug 3 pin biasa dengan kapasiti 240 volt dan 13 ampere, anda boleh mengecaj kereta elektrik tapi ia akan mengambil masa yang sangat lama.

Katakan anda perlu mengecaj dari 0%-100% dengan hanya menggunakan plug 3 pin, BMW iX xDrive40 memerlukan masa sehingga 33 jam untuk dicaj sehingga penuh. Lama tue, lebih daripada sehari tapi ia masih boleh dilakukan dengan menggunakan soket 3 pin biasa.

Atas tujuan keselamatan, pastikan plug 3 pin biasa yang digunakan disambung terus kepada DB Box elektrik rumah anda dan bukannya disambung secara looping dengan mana-mana poin elektrik yang lain. Bagi Volvo XC40 Recharge pula ia memerlukan masa sehingga 34 jam untuk sat pengecasan penuh.

Kenapa pakai plug biasa, bukan bulat?

Jika anda membeli kereta elektrik, anda akan mendapat 2 kabel iaitu satu plug 3 pin 240 Volt dan 13 Ampere. Satu lagi kabel khas (Type 2) yang boleh disambungkan dengan mana-mana poin pengecasan awam. Kedua dua plug ini telah direka untuk beroperasi dengan selamat mengikut spesifikasi bekalan elektrik negara termasuklan rekaan plug 3 pin itu sendiri.

Ya kita menggunakan bekalan elektrik 240 Volt untuk rumah dan 415 volt untuk industri. Bagi kegunaan pengecasan awam, satu lagi kabel yang diberikan boleh beroperasi antara 3.5kW/7kw/11kw bergantung pada spesifikasi kenderaan dan juga On Board Charging pada kereta elektrik.

Kabel ini boleh digunakan jika anda memasang Wall Box charger di rumah anda bagi pengecasan yang lebih pantas. Sebagai contoh BMW menawarkan pakej pemasangan wall box charger dengan harga RM 4,556 dengan keupayaan kuasa elektrik sehingga 22kW.

Semakan penulis dengan laman sesawang lain mendapati masa pengecasan BMW iX dan Volvo XC40 hanyalah sekitar 7 jam sahaja dengan kabel Type 2 serta wall box 22kW dan . Ia jauh lebih pantas berbanding dengan plug 3 pin yang memerlukan masa sehingga 33jam untuk dicas dari 0%-100%

Nak caj lagi laju dan pantas?

Boleh tapi anda kena caj kereta elektrik anda dengan DC Fast Charging yang boleh membekalkan kuasa elektrik dari 50kW, 90kW, 120kW atau 150kW. Jika anda mengecaj BMW iX dengan sambungan kabel CCS2 dengan kapasiti 150kW, BMW iX hanya memerlukan masa 30 minit sahaja untuk dipenuhkan dari 0%-80%. Volvo XC40 Recharge pula memerlukan masa 37 minit sahaja dengan DC Fast Charging

Biasanya jarang sangat kita dengar orang pasang unit DC Fast Charging ini di rumah kerana ia biasa di pasang di lebuh raya atau di pusat servis bagi membantu pemilik kereta elektrik mengecaj sekejap ketika perjalanan jarak jauh. Adalah lebih baik kita mengecaj dengan wall box biasa bagi memastikan keadaan bateri kekal lama.

Jadi untuk keselamatan, pastikan juga anda memeriksa plug 3 pin yang anda terima terutama jika anda membeli kereta elektrik recond. Ini kerana sesetengah negara menggunakan sistem bekalan elektrik yang berbeza dengan negara kita. Kalau Jepun, ia menggunakan bekalan 100-110 volt, 60hz. Sangat berbeza dengan Malaysia yang menggunakan 240 volt 50hz.

Banyak risiko jika anda menggunakan plug 3 pin yang asalnya untuk pasaran negara lain dan digunakan untuk mengecaj kereta elektrik di Malaysia disebabkan perbezaan spesifikasi. Tapi pilihan yang terbaik ialah dengan memasang wall box charger jika anda bercadang untuk membeli kereta elektrik.

Jadi ia akan mengambil masa yang lebih pantas jika anda perlu topup caj elektrik selepas pulang berjalan-jalan dan tidak perlu bergantung kepada fasiliti pengecasan awam. Seronok sebenarnya bangun pagi tengok meter kereta “tangki minyak” dah penuh.

Google ads
Back to top button