
DODGE CHARGER DAYTONA SRT CONCEPT – KELAHIRAN MUSCLE CAR DALAM ERA EV
Kereta muscle kebanyakannya sinonim dengan enjin bersesaran besar dan bunyi yang mampu meresahkan jiwa.
Namun, bagaimana pula jika suatu hari nanti, semua itu tidak lagi relevan untuk kategori muscle car?

Dodge memberikan jawapan mereka menerusi model Charger Daytona SRT Concept, dengan reka bentuk badan muscle dua pintu yang lebih moden, dan tidak lagi menampilkan bentuk sedan empat pintu.
Ia menawarkan trenkuasa elektrik serba baharu Banshee dengan senibina 800 voltan, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda dan dikatakan lebih berkuasa berbanding enjin SRT Hellcat.
Charger EV ini juga menampilkan transmisi eRupt dengan fungsi penukaran gear elektro-mekanikal, ciri suntikan kuasa ekstra PowerShot, dan sistem bunyi tersendiri digelar sebagai Fratzonic Chambered Exhaust.

Rekaan Charger elektrik ini memberikan penghormatan kepada rekaan asal Charger Daytona, dengan elemen moden seperti pencahayaan LED melintang penuh di depan dan belakang, R-Wing pada bahagian hadapan, serta logo Fratzog yang sebelum ini hanya muncul pada model Dodge era 60-an dan 70-an.
Untuk ruang kabin pula terdapat roda stereng dengan suis fungsi, skrin kluster digital 16.0 inci, skrin paparan head-up, skrin infotainmen sebesar 12.3 inci, sistem pencahayaan ambien, serta tombol transmisi dengan rekaan klasik.
Difahamkan, versi produksi bagi model Dodge Charger Daytona SRT Concept ini dijangka muncul menjelang tahun 2024.










