
BREK TESLA MODEL 3 PERFORMANCE TERBAKAR , SELEPAS 2 MINIT DILENJAN
Tesla Model 3 Performance merupakan varian paling berkuasa yang dihasilkan oleh Tesla bagi Model 3, dengan menjana sehingga 460 kuasa kuda daripada 2 motor elektrik. Namun dalam satu ujian bebas yang dibuat oleh Misha Charoudin, brek kereta elektrik ini terbakar selepas 2 minit dipandu
Malah bateri yang digunakan juga dilaporkan mengalami kepanasan melampau berdasarkan data telemetri. Ketika diuji, Tesla Model 3 Performance ini dipandu oleh Misha Charoudin, instruktor pemanduan di Nurburgring dan juga pelumba profesional dengan pengalaman pemanduan yang luas di litar tersebut
Misha Charoudin pada mulanya memuji kestabilan Model 3 Performance termasuklah pengendalian yang lebih baik berbanding dengan model lama, dan sedia digunakan untuk kegunaan litar. Namun sebaik sahaja Tesla Model 3 Performance ini menghampiri selekoh Schwedenkreuz dan dipandu selama 2 minit 30 saat, sistem memberikan amaran berkenaan suhu terlampau tinggi pada komponen brek
30 saat kemudian, Charoudin bergelut dengan sistem brek dan pedal brek ditekan dengan maksimum pada halaju 200km/jam dengan Model 3 sukar untuk dihentikan dan juga asap kelihatan dengan jelas pada cermin pandang belakang.
Berdasarkan data yang diambil daripada telemetri, Tesla Model 3 bermula dengan “max discharge” daripada bateri pada 393kW dan suhu 26.3 darjah Celcius. Selepas 5 minit, kuasa yang dilepaskan oleh bateri menurun kepada 300kW, dan 200kW selepas 7 minit.
Ketika sesi pandu uji ini berakhir, suhu bateri telah meningkat kepada 58.5 darjah Celcius. Apa yang menarik ialah kuasa yang dijana 393kW adalah lebih tinggi berbanding dengan kuasa yang dicatatkan secara rasmi 338kW bagi pasaran Australia dan Eropah
Bagaimanapun Misha berupaya menyudahkan sesi pemanduan melengkapi satu pusingan dengan masa 9 minit 30 saat. Menurut pemilik Tesla 3 Performance yang turut berada dalam kereta semasa sesi pemanduan, EV berkenaan diberikan cecaik brek perlumbaan namun dengan cakera, angkup brek dan pelapik brek original
Walaupun cuba dipertahankan oleh peminat Tesla, namun ia bertentangan dengan usaha Tesla sendiri yang menjual varian Performance dengan Track Mode yang lengkap dengan brek regeneratif maksimum, pelapik brek yang “sesuai untuk litar” dan tahan panas
Sebelum ini, kebanyakan varian Performance yang dihasilkan oleh Tesla dikritik disebabkan prestasi brek yang teruk jika dipandu lama untuk perlumbaan dan termasuklah kegagalan sistem breka pada Model S Plaid, sebelum ia dinaiktaraf pada Track Pack.
Sebagai perbandingan, Hyundai Ioniq 5 N EV berupaya dipandu oleh Misha, melengkapi 2 pusingan di Nurburgring Nordschleife tanpa isu kepanasan dan juga kegagalan sistem brek

