WRC JUGA AKAN MENGAMBIL BAHAGIAN DI GOODWOOD FESTIVAL OF SPEED
Peminat yang menghadiri acara perhimpunan terkemuka, Goodwood Festival of Speed minggu ini juga berpeluang untuk menyaksikan acara persembahan daripada sukan rali, World Rally Championship (WRC) apabila pelbagai rangkaian jentera, pemandu dan juga sang lagenda akan turut hadir memeriahkan acara yang tersohor di Britian itu.
Bermula tanggal 11 Julai (Khamis) hingga ke 14 Julai (Ahad), Promoter WRC, bersama ketiga-tiga pasukan pengeluar utama dalam kelas WRC akan turut terlibat dengan aktiviti membabitkan pengunjung di Goodwood Festival of Speed ini.
Diantara aktiviti yang pastinya menarik perhatian adalah bintang utama WRC dari pasukan Hyundai Motorsport Dani Sordo yang akan menawarkan peluang buat pengunjung bertuah untuk berada di sebelahnya ketika pemandu rali yang berasal dari Sepanyol itu akan memandu jentera Hyundai i20 N Rally1 untuk merentasi dan mendaki bukit Goodwood serta laluan rali merentas hutan yang telah direka oleh juara dunia Hannu Mikkola pada tahun 1983.
Pengunjung juga boleh menyaksikan ketika acara di laluan berbukit yang mengujakan apabila seorang lagi bintang muda WRC, Adrien Fourmaux dan Grégoire Munster akan memandu jentera M-Sport Ford Puma Rally1.
Manakala beberapa bintang dari pasukan Toyota Gazoo Racing dari dahulu dan sekarang, termasuk juara dunia Kalle Rovanperä, Elfyn Evans, Didier Auriol, Juha Kankkunen dan tidak lupa juga Prinsipal Pasukan Jari-Matti Latvala, akan turut beraksi dengan mempamerkan rangkaian kereta rali Toyota dahulu dan sekarang termasuklah Toyota GR Yaris Rally1.
Festival itu juga akan menampilkan penampilan istimewa oleh bekas pemandu WRC Hayden Paddon, yang akan memandu semula jentera Hyundai i20 WRC yang mana kali terakhir beliau memandunya adalah pada tahun 2018. Hayden Paddon yang berasal dari New Zealand, adalah juara bertahan bagi kejuaraan FIA European Rally Championship (ERC) dengan memandu jentera Hyundai i20 N Rally2.
Selain daripada itu, para pengunjung juga boleh mencuba permainan simulasi WRC dengan menggunakan rakan permainan rasmi WRC, EA Sports WRC.
WRC dan Goodwood Festival of Speed sememangnya tidak asing lagi. Tahun sudah Thierry Neuville juga beraksi disini dengan jentera Hyundai i20 N Rally1 disamping Sebastian Ogier yang turut memandu Toyota GR Yaris Rally1.
BACA : RENAULT BAKAL MEMPAMERKAN JENTERA HEBAT DI GOODWOOD FESTIVAL OF SPEED 2017
BACA : PRESIDEN TOYOTA MENGESAHKAN KOMITMEN MEREKA UNTUK KEKAL BERSAMA WRC UNTUK JANGKA MASA PANJANG