Buletin

BUKAN LAGI KERETA ORANG KAYA TUA – ROLLS-ROYCE KINI MILIK ANAK MUDA!

Satu ketika dahulu, jika ditanya berapa umur pemilik Rolls-Royce, kebanyakan akan menjangkakan angka sekitar 60 tahun dan itu memang tepat pada era 10 hingga 15 tahun lalu.

Namun, dalam dekad kebelakangan ini, perubahan besar telah berlaku. Sama ada disebabkan landskap kekayaan global telah berubah atau strategi produk Rolls-Royce yang semakin inklusif, kini purata umur pemilik kenderaan jenama ini menurun kepada sekitar 42 tahun.

Namun, kemunculan Spectre, model elektrik sepenuhnya pertama dari Rolls-Royce, telah mengubah dinamika itu dengan lebih mendadak.

Menurut Presiden baharu Rolls-Royce Amerika Utara, Jon Colbeth, pembeli baharu Spectre yang membeli model ini sebagai Rolls-Royce pertama mereka mencatatkan purata umur serendah 35 tahun.

Apa yang lebih menarik, 40 peratus daripada pembeli Spectre terdiri daripada individu yang tidak pernah memiliki kenderaan Rolls-Royce sebelum ini.

Walaupun angka ini tidak mencerminkan umur purata keseluruhan pembeli Spectre, ia menunjukkan bahawa model EV ini berjaya menarik minat golongan muda dan mewah yang sebelum ini mungkin tidak pernah mempertimbangkan jenama ini.

Perubahan demografik ini bukan kebetulan. Menurut Colbeth, teknologi menjadi tarikan utama kepada generasi muda. Spectre tampil dengan teknologi baharu, bahan moden, serta rekaan yang segar dan semuanya selari dengan selera pengguna muda masa kini.

Ini termasuk pilihan warna dan bahan yang jauh lebih berani berbanding imej klasik Rolls-Royce yang dahulu dikenali sebagai kenderaan bangsawan.

Perkembangan ini sejajar dengan usaha banyak pengeluar kenderaan mewah lain, termasuk Bentley dan Mercedes-Benz, yang juga giat cuba menurunkan purata umur pelanggan mereka.

Strateginya mudah: jika pelanggan sedia ada semakin berumur tanpa digantikan oleh generasi baharu, jualan akhirnya akan merosot.

Colbeth sendiri, yang sebelum ini mengetuai bahagian perkhidmatan pelanggan Rolls-Royce, kini membawa pendekatan lebih terbuka dan mesra terhadap jenama.

Beliau aktif berinteraksi dengan pemilik lama dan baharu, sama ada yang memiliki koleksi klasik bernilai jutaan ringgit atau sekadar peminat yang belum berpeluang memiliki sebuah Rolls-Royce.

Transformasi ini membuktikan bahawa Rolls-Royce bukan sahaja sedang menyesuaikan diri dengan peralihan teknologi, tetapi juga sedang menyusun semula identitinya agar kekal relevan dan menarik kepada generasi baharu.

Google ads
Back to top button