Buletin

BYD SEALION 7 & ATTO 3 2026. TAK PERLU RISAU KALAU NAK JALAN JAUH

BYD Sime Motors baru-baru ini menguji kemampuan jarak perjalanan dua model terbaharunya, BYD SEALION 7 Premium 2026 dan BYD ATTO 3 Premium 2026, menerusi program One Charge Challenge.

Dalam cabaran tersebut, kedua-dua model berjaya menamatkan perjalanan sejauh 509km tanpa perlu mengecas, bermula dari bilik pameran BYD Ara Damansara ke Gambang, Kuantan sebelum kembali semula ke Ara Damansara dengan sebelum itu singgah di Ayu Awana di Genting Highlands untuk menikmati makan tengah hari.

Laluan yang digunakan merangkumi pelbagai keadaan jalan, termasuklah jalan bandar, jalan persekutuan, lebuh raya dan laluan berbukit. Perjalanan pulang pula memerlukan semua peserta naik ke Awana, Genting Highlands, sekali gus menguji keupayaan sistem regeneratif kenderaan ketika menuruni bukit.

Sepanjang perjalanan, kelajuan purata berada antara sekitar 65 hingga 100km/j, manakala penghawa dingin digunakan seperti biasa. Ini bermakna pemanduan tidak dibuat secara ekstrem semata-mata untuk mengejar angka jarak maksimum.

SEALION 7 Premium Cecah 698km

Model yang mencatat keputusan paling tinggi ialah SEALION 7 Premium 2026 yang menamatkan perjalanan 509km dengan baki bateri sebanyak 31 peratus.

Berdasarkan penggunaan tenaga yang direkodkan, ia memberikan unjuran jarak perjalanan sehingga 698km dengan sekali cas. Angka tersebut adalah 48km lebih tinggi berbanding jarak rasmi 650km NEDC.

ATTO 3 Premium 2026 pula berjaya  menamatkan cabaran dengan 17 peratus baki bateri, memberikan unjuran jarak sehingga 602km. Angka ini juga sedikit melebihi jarak rasmi 600km NEDC.

Bagaimanapun, angka tersebut merupakan unjuran berdasarkan penggunaan tenaga sepanjang cabaran dan bukan jaminan jarak sebenar. Penggunaan tenaga serta jarak perjalanan boleh berubah mengikut kelajuan, trafik, cuaca, bentuk muka bumi, muatan dan gaya pemanduan.

Regeneratif Bantu Ketika Menuruni Genting

Laluan Genting Highlands menjadi antara bahagian menarik dalam cabaran ini apabila sistem brek regeneratif memainkan peranannya. Ketika kenderaan memperlahankan kelajuan atau bergerak menuruni bukit, sistem tersebut berfungsi memulihkan sebahagian tenaga yang biasanya hilang ketika membrek dan menyalurkannya kembali ke bateri.

Bagi keseluruhan kenderaan yang menyertai cabaran, purata baki bateri selepas menempuh jarak 509km ialah 21 peratus, manakala purata penggunaan tenaga dicatatkan pada 14.8kWh/100km.

Menurut Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, cabaran ini diadakan untuk melihat sejauh mana angka jarak perjalanan yang dinyatakan dalam brosur dapat diterjemahkan kepada keadaan pemanduan sebenar.

Dengan kedua-dua model berjaya menempuh lebih 500km tanpa perlu berhenti mengecas, keputusan ini memberi gambaran bahawa perjalanan jarak jauh menggunakan EV semakin praktikal untuk keadaan pemanduan di Malaysia.

Apa yang lebih menarik, pencapaian tersebut dibuat dengan penghawa dingin kekal digunakan dan melalui laluan yang merangkumi lebuh raya, jalan biasa serta kawasan berbukit, bukannya dalam keadaan ujian yang terlalu ekstrem untuk menjimatkan tenaga.

Google ads
Back to top button